Korea U uji e...

Korea U uji enjin roket

TOKYO, 19 Mac – Korea Utara telah menjalankan ujian enjin roket baru yang dianggap oleh pemimpin Kim Jong Un sebagai satu kejayaan revolusi untuk program angkasa lepas negara, kata media kerajaan Korea Utara hari ini.

Kim menghadiri kawasan ujian itu kelmarin di tapak pelancaran Sohae, menurut satu laporan hari ini oleh Agensi Berita Tengah Korea (KCNA), yang berkata ujian itu bertujuan mengesahkan kuasa tujahan enjin ‘jenis baru’ dan menilai kebolehpercayaan sistem kawalan dan keselamatan strukturnya.

Kim menggelar ujian itu ‘satu peristiwa penting yang sangat bersejarah’ untuk industri roket negara, menurut laporan KCNA.

Beliau juga berkata ‘seluruh dunia akan menyaksikan tidak lama lagi betapa pen-tingnya kemenangan yang diperoleh hari ini’ dan mendakwa ujian menandakan apa yang akan dikenali sebagai ‘revolusi 18 Mac’ dalam pembangunan industri roket negara. Laporan itu menandakan enjin tersebut akan digunakan untuk program angkasa lepas dan pelancaran satelit Korea Utara.

Korea Utara diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada menjalankan ujian peluru berpandu jarak jauh, tetapi ia mendakwa program satelitnya adalah untuk kegunaan aman, satu dakwaan yang dipercayai boleh dipersoalkan di AS dan tempat lain.

Seorang lelaki menonton program berita di televisyen yang menunjukkan imej akhbar Rodong Sinmun Korea Utara yang melaporkan mengenai ujian enjin roket baru di stesen Seoul Railway di Seoul, Korea Selatan pada 19 Mac. – AP
Seorang lelaki menonton program berita di televisyen yang menunjukkan imej akhbar Rodong Sinmun Korea Utara yang melaporkan mengenai ujian enjin roket baru di stesen Seoul Railway di Seoul, Korea Selatan pada 19 Mac. – AP

Pegawai Korea Utara telah berkata di bawah pelan lima tahun mereka berhasrat melancarkan lebih banyak satelit pengawasan Bumi dan apa yang akan menjadi satelit komunikasi geopegun pertama negara – yang akan menjadi kemajuan teknologi besar.

Melancarkan satelit seumpama itu ke angkasa lepas mungkin memerlukan enjin yang lebih berkuasa tinggi berbanding enjin sebelumnya. Utara juga mendakwa ia berusaha membina program angkasa lepas yang akan termasuk pelancaran ke bulan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ujian itu dijalankan tatkala Setiausaha negara AS, Rex Tillerson berada di China dalam lawatan ke Asia yang telah menumpukan pada kebimbangan mengenai cara-cara menghadapi dan mengatasi program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

Adalah sukar untuk mengetahui sama ada ujian ini sengaja dilancarkan serentak dengan lawatan Tillerson, namun Pyongyang mengkritik latihan peperangan AS-Korea Selatan yang berterusan di selatan Zon Bebas Tentera dan sering menjalankan operasinya sendiri sebagai bantahan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA