Korea U undang kongres AS lawat loji ‘antraks’

Korea U undang kongres AS lawat loji ‘antraks’

SEOUL, 14 Julai (AFP) – Korea Utara telah mencabar seluruh Kongres Amerika Syarikat (AS) supaya datang dan memeriksa sebuah institut bio-teknologi di Pyongyang yang dicadangkan oleh pakar AS merupakan sebuah pusat untuk penghasilan antraks untuk tentera.

Seorang jurucakap untuk Suruhanjaya Pertahanan Negara dengan marah menekankan bahawa bangunan di Pyongyang adalah dikhaskan untuk menghasilkan racun perosak, selepas satu laporan yang disiarkan pada minggu lalu di laman web Institut AS-Korea di Universiti Johns Hopkins mencadangkan sebaliknya.

“Satu ribu pasang telinga tidak dapat menyamai satu pasang mata,” kata juru-cakap, menuduh kerajaan AS menyebar desas-desus mengenai program senjata biologi Utara.

“Datang ke sini sekarang juga, dengan kesemua 535 anggota Dewan Perwakilan dan Senat serta setiausaha dan penolong setiausaha kerajaan yang telah menyerakkan suara mereka menuntut sekatan baru dikenakan,” kata jurucakap.

“Kemudian mereka boleh melihat dengan kagum Institut Bio-teknikal Pyongyang,” tambah beliau.

Kata-kata jurucakap, disiarkan oleh agensi berita Utara KCNA semalam, tidak termasuk dalam versi bahasa Inggeris laporan yang sama.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un memeriksa institut tersebut pada minggu lalu, dan gambar lawatan beliau yang disiarkan oleh media negeri dianalisis oleh Mellisa Hanham, penyelidik senior di Pusat Kajian Pengawalan Senjata Nuklear di Washington.

Hanham berkata gambar menunjukkan Pyongyang telah mengimport peralatan dwi-kegunaan.

“Adalah sukar untuk mengelak daripada membuat kesimpulan bahawa institut berhasrat menghasilkan kelompok antraks saiz tentera,” kata beliau.

“Pokoknya, tidak kira sama ada peralatan sedang digunakan untuk menghasilkan antraks hari ini, ia mungkin dihasilkan pada masa depan.”

ARTIKEL YANG SAMA