Korea Utara digesa tunaikan ‘janji’

TOKYO, 13 Mac – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bertemu dengan ketua risikan Korea Selatan hari ini dan berkata sementara dia menggalu-alukan apa saja dialog dengan Korea Utara berhubung pelucutan senjata nuklear negara, Korea Utara juga digesa untuk mengambil tindakan.

“Saya percaya adalah amat penting bahawa Korea Utara mengambil tindakan konkrit untuk menunaikan apa yang telah dikatakannya,” kata Abe pada awal rundingan dengan ketua risikan Korea Selatan, Suh Hoon.

Presiden Donald Trump telah bersetuju untuk bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada Mei dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In dijangka bertemu dengan Kim pada akhir April ini.

Suh berada di Tokyo untuk memberi taklimat kepada pegawai Jepun mengenai perkembangannya dan dia adalah salah seorang daripada rombongan Korea Selatan yang bertemu dengan Kim di Pyongyang pada minggu lalu. Seorang lagi anggota rombongan telah memberikan taklimat kepada pegawai China di Beijing.

“Saya fikir adalah amat bermakna Pengerusi Parti Pekerja Korea, Kim Jong Un menyatakan hasratnya untuk membebaskan negaranya daripada nuklear dalam kata-katanya sendiri,” kata Suh. – AP