Korea Utara hasil kimchi di kilang baru

Korea Utara hasil kimchi di kilang baru

SEOUL, 10 Jun – Korea Utara sedang menghasilkan kimchi di sebuah kilang baru yang ‘dibina di bawah jagaan penuh kasih sayang’ pemimpin Kim Jong-Un, yang memuji jeruk berempah sebagai ‘salah satu daripada lima makanan kesihatan di du-nia,’ kata media negeri hari ini.

Kim mengeluarkan kata-katanya itu ketika memeriksa Kilang Jeruk Ryugyong, dibina untuk membekalkan penduduk Pyongyang dengan makanan tradisional itu sepanjang tahun, kata Agensi Berita Utama Korea.

Kilang itu berupaya menghasilkan 4,200 tan sayur yang ditapaikan setiap tahun, hidangan sampingan yang dimakan bersama nasi oleh penduduk Korea.

Kim berkata kilang Ryugyong akan menetapkan standard untuk pengeluaran kimchi di Korea Utara, kata agensi berita itu.

Beliau menggesa pembinaan kilang kimchi moden di setiap wilayah berdasarkan kilang Ryugyong.

“Kimchi adalah makanan tradisional paling digemari di negara Korea dan ia terkenal sebagai salah satu daripada lima makanan kesihatan dunia,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau menggesa kilang itu ‘menghasilkannya lebih sedap berbanding dengan yang dibuat oleh keluarga individu dan sekali gus menjadikannya makanan kegemaran rakyat dan makanan terbaik di dunia’.

Pada satu kongres parti pada bulan lalu, Kim menekankan beliau akan meneruskan dengan dasar utama Byungjin – membina gudang nuklear Utara dan memajukan ekonomi pada masa yang sama.

Sejak sebulan lalu, Kim telah menumpu pada lawatan peme-riksaannya ke kemudahan yang berkaitan dengan mata pencarian harian penduduk termasuk kilang sabun baru, kilang garam, hospital dan kilang yang mengeluarkan barangan sukan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA