Korea Utara punyai ketua tentera baru

Korea Utara punyai ketua tentera baru

SEOUL, 21 Feb (AFP) – Media kerajaan Korea Utara hari ini mengesahkan negara itu mempunyai ketua ketenteraan yang baru ekoran laporan sebelumnya di Seoul bahawa bekas pemegang jawatan itu telah dihukum mati.

Ri Myong-Su, bekas Menteri Keselamatan Rakyatm telah dirujuk sebagai ‘ketua Turus Tentera Rakyat Korea’ apabila Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan tentang latihan tentera yang dibimbing oleh pemimpin negara itu Kim Jon-Un.

Ri Myong-Su sekali lagi disebut dalam laporan berasingan KCNA tentang pemeriksaan ke atas latihan pasukan tentera udara yang dilakukan oleh Kim. Ketua tentera sebelumnya Ri Yong-Gil dilaporkan dihukum mati awal bulan ini yang dikatakan terkini dalam siri-siri penyingkiran dan penghukuman mati ke atas pegawai-pegawai tertinggi.

Ri Yong-Gil dituduh membentuk puak politik dan rasuah, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap, yang memetik sumber yang mengetahui hal ehwal Korea Utara. Dalam bulan Mei tahun lalu agensi pengintip Korea Selatan mengatakan Kim menghukum mati ketua pertahanannya, Hyong Yon-Chul, dilaporkan dengan senjata anti pesawat udara.

Nasib Hyon tidak pernah disahkan oleh Pyongyang, tetapi dia tidak pernah dilihat atau beritanya tidak kedengaran lagi sejak itu. Sebilangan penganalisis mengatakan dia disingkirkan dan dipenjarakan.

ARTIKEL YANG SAMA