Korea Utara uji enjin roket baru

Korea Utara uji enjin roket baru

SEOUL, 20 Sept – Korea Utara berjaya menguji enjin roket baru, kata media negeri hari ini, satu tindakan yang dikatakan oleh pakar akan merangsang program senjatanya.

Ujian darat itu diadakan selepas lebih daripada 20 pelancaran peluru berpandu dan dua letupan nuklear pada tahun ini, dan menambah kepada kebimbangan bahawa negara itu sedang mempercepat pembangunan gudang senjatanya, meskipun menghadapi tentangan global yang sengit.

Agensi berita KCNA berkata enjin itu akan memberikan negara “keupayaan pengangkut yang mencukupi untuk melancarkan pelbagai jenis satelit.”

Enjin roket mudah diubahsuai untuk digunakan dalam peluru berpandu, dan pemerhati luar berkata program angkasa lepas Pyongyang adalah satu penyamaran untuk ujian senjata.

Selepas menyelia ujian di tapak pelancaran satelit Sohae, pemimpin Kim Jong-Un meminta pegawai, ahli sains dan juruteknik supaya “menamatkan persediaan untuk pelancaran satelit secepat mungkin,” lapor agensi berita KCNA.

Orang ramai menonton laporan berita televisyen mengenai ujian terkini Korea Utara untuk enjin roket, di sebuah stesen kereta api di Seoul kelmarin. – AFP
Orang ramai menonton laporan berita televisyen mengenai ujian terkini Korea Utara untuk enjin roket, di sebuah stesen kereta api di Seoul kelmarin. – AFP

Kim juga menggesa lebih banyak pelancaran roket untuk mengubah negara kepada “pemilik satelit geopegun dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” menurut KCNA.

Muka surat depan akhbar Utara Rodong Sinmun menunjukkan gambar api panjang yang keluar daripada enjin yang disokong oleh struktur simen; satu lagi gambar menunjukkan Kim menyaksikan ujian dan satu gambar berasingan menunjukkan beliau ketawa.

Ahli sains roket Chae Yeon-Seok di Institut Penyelidikan Ruang Aeroangkasa Korea Selatan berkata dengan enjin baru itu, Utara “semakin hampir untuk memiliki peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang boleh sampai ke AS.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA