Korea Utara usir pemberita BBC

Korea Utara usir pemberita BBC

SEOUL, 9 Mei (AFP) – Seorang pemberita BBC di Korea Utara telah ditahan, disoal siasat selama lapan jam dan akhirnya diusir kerana laporannya sebelum kongres parti memerintah yang luar biasa, lapor penyiar Britain hari ini.

Para pemberita luar negara telah dijemput untuk membuat liputan acara khusus di Korea Utara dikenakan sekatan sangat ketat, berhubung kemudahan dan pergerakan. Sebilangan wartawan mendapati diri mereka dicegah dari pulang ke negara kerana liputan mereka yang sebelumnya dianggap ‘tidak tepat’ atau ‘tidak hormat’ – tetapi menahan dan kemudian mengusir seorang pemberita ketika masih di negara itu adalah sangat luar biasa.

Pemberita BBC, Rupert Wingfield-Hayes, hendak menaiki kapal terbang meninggalkan lapangan terbang Pyongyang bersama dua orang lagi kakitangan BBC pada Jumaat lalu apabila dia ditahan dan diletakkan di bawah penahanan, menurut BBC. Dia kemudian disoal siasat kira-kira lapan jam, berhubung salah satu laporannya yang mempersoalkan ketulenan sebuah hospital yang dilawati oleh pasukannya.

“Dia telah dibawa ke sebuah hotel dan disoal siasat oleh biro keselamatan di sini di Pyongyang sebelum diarah menandatangani kenyataan dan kemudian dibebaskan pada pagi Sabtu lalu, menurut John Sudworth, seorang lagi pemberita BBC yang membuat liputan kongres itu di bandar Korea Utara.

Wartawan asing meninggalkan tempat kongres parti selepas diberitahu bahawa pelan penyiaran telah berubah sehingga diberitahu kelak pada Ahad lalu, di Pyongyang, Korea Utara. – AP
Wartawan asing meninggalkan tempat kongres parti selepas diberitahu bahawa pelan penyiaran telah berubah sehingga diberitahu kelak pada Ahad lalu, di Pyongyang, Korea Utara. – AP

Sudworth berkata BBC telah berusaha mendiamkan perintah penahanan dan pengusiran itu kerana bimbangkan keselamatan Wingfield-Hayes dan dua orang lagi anggota pasukannya, yang enggan tinggalkan negara itu pada Jumaat lalu selepas dia ditahan. Bagaimanapun berita itu diketahui ekoran sidang media awal hari ini oleh Jawatankuasa Keamanan Kebangsaan Korea Utara. Agensi berita rasmi China, Xinhua, yang mempunyai biro tetap di Pyongyang, memetik jawatankuasa sebagai berkata dia telah diusir kerana ‘membidas sistem DPRK dan laporan yang tidak benar’ DPRK adalah akronim rasmi Korea Utara. Pasukan BBC yang mempunyai tiga anggota itu telah dibawa ke lapangan terbang hari ini.

Pasukan BBC telah menjalankan tugas mereka di Korea Utara selama beberapa hari sebelum kongres parti bermula pada Jumaat lalu, mengiringi sebuah delegasi penerima anugerah Nobel yang melakukan lawatan penyelidikan.

ARTIKEL YANG SAMA