Kos haji M’sia kekal RM9,980

Kos haji M’sia kekal RM9,980

SHAH ALAM, 2 Ogos (Bernama) – Lembaga Tabung Haji (TH) masih mengekalkan kos mengerjakan haji kepada para jemaah pada kadar RM9,980 tahun ini walaupun kos sebenar telah meningkat kepada RM17,270.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail berkata peningkatan kos haji pada musim kali ini juga bererti Tabung Haji perlu meningkatkan tanggungan kos untuk setiap jemaah kepada RM7,290 bagi mencukupkan kos itu.

“Peningkatan kos haji pada tahun ini paling ketara disebabkan peningkatan kos penginapan para jemaah. Seperti kita sedia maklum kadar bayaran bagi hotel yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram adalah mahal.

“Bagaimanapun, TH akan sedaya-upaya menempatkan jemaah haji Malaysia di kawasan penginapan yang jaraknya kurang dari satu kilometer,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor di Masjid Negeri di sini, hari ini.

Kira-kira 3,500 bakal haji dari Selangor menyertai kursus itu yang berlangsung sejak semalam.

Bagi musim haji kali ini, Ismee berkata kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan diterbangkan ke Arab Saudi mulai 16 Ogos ini dan penerbangan terakhir adalah pada 16 September.

Penerbangan pulang jemaah haji ke Malaysia pula ialah mulai 29 September sehingga 27 Oktober.