Kos haji, umrah dijangka naik

Kos haji, umrah dijangka naik

KUALA LUMPUR, 1 Jan (UM) – Lebih 200,000 jemaah umrah dan 28,000 jemaah haji dari Malaysia dijangka terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos menunaikan ibadah tersebut pada tahun ini.

Kenaikan kos tersebut tidak dapat dielakkan ekoran kejatuhan nilai mata wang ringgit untuk tukaran riyal yang menyebabkan pelbagai kos melibatkan tiket penerbangan, kos sewa hotel, makanan dan pengangkutan meningkat.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Datuk Syed Mohd Razif Syed Yasin, berkata kos menunaikan ibadah umrah dan haji kelolaan agensi swasta pada tahun hadapan dijangka naik sebanyak 10 hingga 15 peratus atau mungkin lebih tinggi.

“Sebelum ini, kos bagi pakej umrah telah pun naik bagi musim umrah bermula pertengahan November lalu.

“Bagi jemaah haji kelolaan agensi swasta pula, kos dijangka naik bagi musim hadapan.

“Kita jangka kerajaan Arab Saudi pasti akan menaikkan kos kemudahan penginapan, pengangkutan dan makanan, lebih-lebih lagi pada musim haji tahun depan,” katanya ketika dihubungi akhbar Kosmo! kelmarin.

Awal daripada itu, Ketua Biro Umrah dan Haji Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (Bumitra) Malaysia, Ayob Mat Aris, berkata peningkatan harga pakej tersebut berikutan kejatuhan nilai ringgit.

Katanya, kenaikan tersebut terpaksa dilakukan bagi membantu agensi pengendali pelancongan menampung peningkatan kos mendadak yang kebanyakannya kini ditanggung sendiri oleh pihak agensi.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, banyak agensi pelancongan tidak mampu bertahan lama dan membatalkan pakej sedia ada kerana terpaksa menanggung sendiri kos yang semakin meningkat terutama bagi pelanggan yang telah membuat pembayaran awal.

“Kita juga ingin memohon kepada para pelanggan dan jemaah agar memberikan kerjasama dengan syarikat pelancongan yang ingin membincangkan semula kos pakej mengikut nilai mata wang dan keadaan semasa,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA