Kos penyekat iklan cecah AS$22 bilion – kajian

Kos penyekat iklan cecah AS$22 bilion – kajian

WASHINGTON, 12 Ogos – Penggunaan perisian yang menyekat iklan dalam talian dijangka mengakibatkan kerugian laman sesawang kira-kira AS$21.8 bilion di seluruh dunia pada tahun 2015, menurut satu kajian semalam.

Kajian itu oleh kumpulan perisian Adobe dan firma perundingan di Ireland, PageFair mendapati bilangan pengguna Internet yang menggunakan perisikan sekat iklan telah melonjak 41 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga 198 juta.

Laporan itu mengatakan sementara para pengguna gemar dengan idea menyekat iklan dalam talian, mereka mungkin tidak menyedari bahawa amalan itu boleh menjejaskan laman sesawang yang bergantung pada hasil iklan.

Kerugian itu dijangka tumbuh kepada lebih AS$41 bilion dalam tahun 2016, menurut kajian itu.

“Adalah menyedihkan para pengguna sekat iklan tidak sengaja mengakibatkan kerugian berbilion-bilion dolar pada laman sesawang yang mereka sukai,” kata Ketua Eksekutif PageFair, Sean Blanchfield.

“Dengan penyekatan iklan dalam peranti, wujud ancaman sebenar model perniagaan yang telah menyokong sesawang terbuka selama dua dekad bakal mengalami kejatuhan.”

Para pengguna dapat memasang pelanjutan pada sesetengah penyemak imbas sesawang seperti Google Chrome yang menyekat kebanyakan iklan. Alat serupa dijangka boleh diperolehi di peranti Apple dengan sistem operasi baru iOS dikeluarkan lewat tahun ini.

Laporan itu mengatakan disebabkan pertumbuhan ini,”penyekat iklan kini memberi ancaman wujud bagi masa depan kandungan percuma di Internet.”

Dalam pasaran Amerika Syarikat sahaja, iklan yang disekat mengakibatkan kerugian AS$5.8 bilion dalam tahun 2014 dan dianggarkan AS$10.7 bilion tahun ini, PageFair dan Adobe mendapati. Campbell Foster, pengarah pemasaran produk Adobe, berkata dia berharap laporan itu menjelaskan ekosistem online. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA