Kos perniagaan perlu kompetitif

Kos perniagaan perlu kompetitif

Oleh Anwar Rosly & Danial Norjidi

 

KUALA BELAIT, 21 Jan – Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) telah menegaskan dedikasinya untuk membukakan peluang-peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat tempatan, tetapi menggesa mereka untuk menjadikan perniagaan mereka kompetitif daripada segi kos.

“BSP boleh dan akan melakukan lebih banyak untuk mewujudkan peluang-peluang. Bagaimanapun, menjadikannya realiti bergantung pada semangat keusahawanan anda, profesionalisme anda dan komitmen anda untuk membuat perbezaan positif bukan sahaja kepada syarikat dan kakitangan anda malahan kepada negara,” ujar Pengarah Urusan BSP, Andrew Faulkner semasa berucap pada Acara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) yang berlangsung di Dewan Pusat Insani, Seria, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi

Andrew Faulkner seterusnya mengingatkan bahawa keselamatan dan integriti perniagaan adalah jangkaan-jangkaan yang tidak boleh dirunding dan patut telah menjadi sebahagian daripada DNA syarikat.

Dato Paduka Haji Jamain bersama Pengarah Urusan BSP ketika melancarkan portal tersebut.
Dato Paduka Haji Jamain bersama Pengarah Urusan BSP ketika melancarkan portal tersebut.
Andrew Faulkner ketika memberi penerangan kepada tetamu kehormat.
Andrew Faulkner ketika memberi penerangan kepada tetamu kehormat.
Tetamu kehormat ketika menyaksikan bagaimana portal LBD tersebut berfungsi.
Tetamu kehormat ketika menyaksikan bagaimana portal LBD tersebut berfungsi.

“Dengan harga minyak pada AS$28/bbl, saya perlu menekankan keperluan yang semakin meningkat supaya perniagaan-perniagaan anda menjadi kompetitif daripada segi kos, kami boleh menyokong pembangunan anda tetapi kami tidak dapat memberi subsidi kepada kontrak-kontrak yang terlebih harga,” ujarnya.

Lebih 300 orang yang terdiri daripada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan antarabangsa, wakil-wakil kanan dari syarikat-syarikat BSJV, para pegawai kanan kerajaan dan perwakilan dari Persatuan Perbankan menghadiri acara itu yang menyaksikan pelancaran portal bagi Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD).

Selepas melancarkan portal berenaan, tetamu kehormat turut melawat petak-petak pameran sambil mendengar penjelasan mengenai fungsi dan perkhidmatan yang disediakan oleh badan-badan yang menyertai acara berkenaan.

Dengan tema ‘Mengukuhkan Perkembangan PKS melalui Kerjasama Berterusan,’ acara berkenaan bertujuan untuk menggalakkan perkongsian produktif melalui kerjasama berterusan dengan BSJV dan pihak kerajaan, membolehkan PKS untuk lebih bertahan pada fasa permulaan dengan menyediakan panduan mengenai BSJV dan proses kerajaan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan jaminan perniagaan berterusan dalam persekitaran harga minyak yang rendah dengan berkongsi peluang tender yang dirancang untuk tahun ini dan seterusnya.

Sebanyak 14 buah pondok pameran telah diisikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta seperti LBD, HSSE, Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri, LiveWire, Kementerian Kewangan, Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kastam dan Pelabuhan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri dan Bank Standard Chartered (SCB).

Di samping pameran, acara berkenaan turut diisikan dengan sesi forum yang merangkumi enam topik perbincangan iaitu HSSE (Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran), risiko perniagaan dan insurans, keusahawanan Islam (integriti perniagaan dan tadbir urus yang baik), peluang perniagaan bagi PKS (BSJV dan LBD Blueprint) dan Tingkah Laku Kewangan bagi PKS.

ARTIKEL YANG SAMA