Koscielny muncul wira Arsenal

Koscielny muncul wira Arsenal

LONDON, 3 Jan (AFP) – Jaringan Laurent Koscielny menyaksikan Arsenal menjarakkan kedudukan kepada dua mata mengatasi pasukan tangga kedua, Leicester City di persada Liga Perdana Inggeris.

Koscielny menyumbat masuk hantaran rakan sepasukan Perancis, Olivier Giroud pada minit ke-72 dalam saingan diiringi hujan lebat di Stadium Emirates malam tadi, untuk memberikan kemenangan tipis 1-0 buat Arsenal mengatasi Newcastle United.

Leicester pula seri 0-0 di laman sendiri kepada Bournemouth dan kini hanya satu mata mengatasi Manchester City, yang menghasilkan kebangkitan untuk menang 2-1 di Watford menerusi gol lewat Yaya Toure dan Sergio Aguero.

“Kami tidak berada pada tahap terbaik, tapi kami perlu mencarinya dan kami boleh melakukannya apabila diperlukan,” kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Laurent Koscielny ketika menjaringkan gol buat Arsenal. – Reuters
Laurent Koscielny ketika menjaringkan gol buat Arsenal. – Reuters

“Ia mengenai kerjasama, kaki yang keletihan dan mengambil peluang menerusi gerakan bola mati.

“Sepanjang Krismas, dalam empat perlawanan kami mengumpul sembilan mata, jadi kami tidak boleh memandang ke belakang dan berkata kami melaksanakan 75 peratus kerja kami ketika kami tewas di Southampton,” katanya.

Arsenal jauh daripada tahap terbaik mereka berdepan Newcastle, dengan cubaan Georginio Wijnaldum diselamatkan oleh penjaga gol, Petr Cech pada babak pertama manakala sepakan Aleksandar Mitrovic melepasi palang.