Kosovo mahu cipta kejutan pada kelayakan Piala Dunia

Kosovo mahu cipta kejutan pada kelayakan Piala Dunia

PRISTINA, 4 Okt – Kosovo berharap mampu menjadi pakej kejutan dalam kempen kelayakan Piala Dunia kali ini selepas beberapa bulan mendapat keahlian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Negara baru dalam ranking bola sepak dunia itu mendapat keahlian UEFA Mei lalu sebelum menyertai FIFA seminggu kemudian dan terus diberi kebenaran mengambil bahagian dalam kelayakan Piala Dunia 2018.

Skuad Albert Bunjaki itu tidak menunggu lama untuk menerima pujian apabila seri 1-1 di Finland bulan lalu dalam penampilan kompetitif pertama mereka.

Kemenangan itu ternyata memberikan suntikan semangat kepada negara dari Balkan walaupun Bunjaki percaya Euro 2020 adalah sasaran lebih realistik, namun dia tetap menaruh harapan untuk melihat lebih banyak kejutan menjelang pertemuan dengan Croatia dan Ukraine.

Kosovo menjadi tuan rumah kepada Croatia pada Khamis ini di Shkodra sebuah bandaraya di utara Albania kerana stadiumnya tidak memiliki sijil pengiktirafan daripada UEFA.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” kata Bunjaki ketika ditemuramah The Associated Press, semalam. “Kami tahu Croatia adalah sebuah pasukan yang bagus dan tiga hari kemudian kami berdepan Ukraine pula.

Tetapi pada masa sama anda tahu unsur kejutan sering berlaku dalam bola sepak.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA