Kota Junior benam MS ABDB

Kota Junior benam MS ABDB

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kota Junior terus gah di puncak Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 selepas mengalahkan sebuah lagi pasukan saingannya yang merupakan pemenang tempat ketiga tahun lalu, MS ABDB, dengan jaringan 9-3.

Perlawanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menyaksikan kemenangan ketujuh berturut-turut daripada tujuh perlawanan yang telah dilalui Kota Junior untuk musim ini yang menyaksikan penjaring terbanyak liga setakat ini, Faizul Jefry meledakkan empat gol.

Beliau menyumbat dua gol berturut-turut pada minit ke-3 dan ke-4 sebelum Mohd Faiz menambah seminit kemudian untuk Kota Junior memacu di depan 3-0.

Mohd Isa menjadikan kedudukan 1-3 buat MS ABDB pada minit ke-9 disusuli jaringan Mohd Wajdi pada minit ke-12 untuk MS ABDB bangkit merapatkan jurang kepada 2-3.

Namun bertitik tolak daripada dua gol itu, Kota Junior ternyata berupaya mempertingkatkan permainannya ke satu tahap lagi sehingga berjaya menghasilkan tiga gol lagi pada separuh masa pertama itu untuk jaringan 6-2 dibawa ke separuh masa kedua.

Faizul Jefry dalam aksinya ketika mewakili Kota Junior menentang MS ABDB di mana beliau berjaya menjaringkan empat gol bagi membantu pasukannya menang 9-3.
Faizul Jefry dalam aksinya ketika mewakili Kota Junior menentang MS ABDB di mana beliau berjaya menjaringkan empat gol bagi membantu pasukannya menang 9-3.

Mohd Nor Azizam menjaringkan gol keempat Kota Junior pada minit ke-14, disusuli dua minit kemudian oleh Mohd Faiz dan pada minit ke-17 menyaksikan Faizul Jefry mencipta hatrik.

Dua minit selepas rehat, Faizul Jefry menjadikan kedudukan 7-2, tetapi beberapa saat kemudian Mohd Safari meledakkan satu gol buat MS ABDB sekaligus merubah kedudukan menjadi 3-7.

Sekalipun berjaya mengurangkan jumlah bolos pada babak kedua, MS ABDB berjaya dibolosi dua kali lagi menerusi rembatan Mohd Faiz pada minit ke-23 untuk catatan hatrik peribadinya disusuli jaringan Mohd Shariffuddin pada minit ke-27.

Kini Kota Junior mengumpul 21 mata, tiga mata di depan tempat kedua, Shah United FC yang baru melalui enam perlawanan. Sementara MS ABDB terus menghuni tempat keempat dengan 12 mata, ketinggalan tiga mata di belakang penghuni tangga ketiga, Arbisyam FC yang mencatat kemenangan selesa 7-0 ke atas NFT.

Walaupun tewas, Arbisyam FC kekal di tempat ketiga dengan 12 mata, sama dengan MS ABDB, hanya Arbisyam FC memiliki jaringan lebih tinggi iaitu 23 gol berbanding 21 gol catatan MS ABDB, tatkala kedua-dua pasukan sama-sama memiliki +9 perbezaan gol.

Shah United FC pula tidak menghadapi masalah besar ketika berdepan Pega Star FT walaupun sekadar mendahului 1-0 pada babak pertama, berkat ledakan empat lagi jaringan pada babak kedua ketika Pega Star FT hanya berjaya sekali membolosinya.

Abdul Muiz membuka tirai jaringan Shah United FC pada minit ke-9, disusuli gol kedua oleh Awangku Mohd shukri seminit selepas rehat, Mohd Arif pada minit ke-29, Mohd Ulfi pada minit ke-33 dan Mohd Abi Syarilizam seminit sebelum masa tamat. Jaringan tunggal Pega Star FC pula hadir pada minit ke-37 hasil rembatan Mohd Fadhli.

Rizfiz FT pula naik satu anak tangga ke kedudukan ke-5 dengan 12 mata, memintas PBDB FT yang tewas oleh Street United FT. Street United FT walaupun menang ke atas PBDB, kekal di tempat ketujuh dengan 9 mata, bersama dengan PBDB FT yang memiliki 27 jaringan berbanding hanya 20 jaringan.

First Five FT kekal di tempat kesepuluh, masih dengan hanya 3 mata daripada enam perlawanan yang sudah dilaluinya.

Kini semua pasukan sudah bermain enam kali kecuali pasukan tercorot, BIO FT yang sudah pun melalui tujuh perlawanan.