Kota Junior juara BFL

Kota Junior juara BFL

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 mencapai kemuncaknya malam tadi dengan Kota Junior dimahkotakan sebagai juara, Shah United FC naib juara dan MS ABDB pemenang tempat ketiga.

Pada perlawanan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam tadi, Kota Junior tidak menghadapi masalah untuk melengkapkan perlawanan dengan kemenangan 9-3 ke atas pasukan tangga ketujuh, Street United untuk menamatkan kempen dengan 27 mata.

Harapan Arbisyam FC untuk sekurang-kurangnya menamatkan di tangga ketiga dikecewakan oleh keputusan seri 4-4 MS ABDB dengan Shah United FC pada 2 Jun lalu, namun Mohd Nasruddin bin Md Isa memastikan Arbisyam tidak pulang tangan kosong apabila dia diumumkan selaku penerima Anugerah Penjaring Terbanyak dengan 17 gol.

Hadir menyaksikan perlawanan terakhir BFL2015 malam tadi dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juara menerima piala rebutan, piala iringan, pingat emas dan wang tunai $3000, sementara naib juara mendapat piala iringan, pingat perak dan wang tunai $2000 dan tempat ketiga membawa pulang piala iringan, pingat gangsa dan wang tunai $1000.

Faizul Jefry menjulang Piala Rebutan BFL 2015 selepas menewaskan Street United.
Faizul Jefry menjulang Piala Rebutan BFL 2015 selepas menewaskan Street United.

Dalam perlawanan terakhir malam tadi, Kota Junior mendominasi separuh masa pertama dengan lima jaringan tanpa balas bermula dengan gol Maziri pada minit ketiga disusuli jaringan Md Farhan pada minit ke-5.

Dua minit kemudian kedudukan berubah 3-0 apabila Mohd Salihen terjaring ke gawang sendiri, diikuti jaringan Faizul Jefry pada minit ke-12 dan gol pertama Md Faiz pada minit ke-17, yang menyelesaikan babak pertama 5-0.

Gol keenam Kota Junior hadir tiga minit selepas rehat dijaringkan oleh Faizul Jefry disusuli gol ketujuhnya oleh Md Faiz pada minit ke-25 dan kemudiannya disusuli dengan gol kelapan seminit kemudian hasil jaringan Md Nor Azizam.

Street United berjaya membolosi Kota Junior untuk kedudukan 1-8 menerusi jaringan Hassan Asnan pada minit ke-28. Awangku Hamirul menjaringkan gol kedua Street United pada minit ke-35 tetapi seminit kemudian Md Faiz melengkapkan hatriknya untuk kedudukan 9-2.

Md Salihen menebus jaringan sendirinya apabila berjaya merobek gawang Kota Junior untuk gol ketiga Street United pada minit ke-38 untuk selesai 9-3.

ARTIKEL YANG SAMA