Kota Junior juara futsal Takaful 2016

Kota Junior juara futsal Takaful 2016

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Kota Junior dimahkotakan juara Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 selepas melalui kempen tanpa kalah yang hampir sempurna tatkala naib juara musim ini dan musim lalu, Shah United FC mengikatnya 1-1 pada aksi terakhir liga malam tadi.

Kota Junior mengumpul 28 mata daripada 30 mata tersedia dengan catatan sembilan menang dan satu seri serta 68 jaringan dan 14 bolos, sementara Shah United FC mengumpul 25 mata, 50 jaringan dan 22 bolos daripada lapan menang, satu seri dan satu kalah, dengan PBDB FT satu-satunya mencalarkan rekod nyaris tanpa kalahnya.

Hanya tempat ketiga bertukar tangan musim ini apabila Arbisyam FC merampasnya daripada MS ABDB, tanpa dirancang berlaku pada perlawanan terakhir kedua-dua pasukan pada 28 Ogos iaitu MS ABDB menang 10-1 ke atas Pega Star FC pada sebelah petang dan Arbisyam FC menang 10-1 ke atas First Five FT di sebelah malam.

Kedua-dua pasukan menamatkan kempen masing-masing dengan 21 mata daripada tujuh menang dan tiga kalah. Bukan itu saja kedua-duanya turut mencatat jumlah jaringan yang sama, 45 gol, tetapi Arbisyam FC hanya bolos 22 kali ketika MS ABDB dibolosi 28 kali, yang menyebabkan pingat gangsa menjadi milik Arbisyam FC.

Kota Junior selaku juara Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 bersama para penyokong setia mereka.
Kota Junior selaku juara Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 bersama para penyokong setia mereka.

Hadir menyaksikan perlawanan penutup di liga Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Urusan Takaful Brunei Darussalam, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Laila Utama Dato Paduka Haji Jaya sambil diiringi Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Haji Madli bin Haji Mohd Yusof.

Selain menjulang piala juara dan piala rebutan, ketua pasukan Kota Junior, Faizul Jefry bin Haji Zaini turut diumumkan selaku penerima Anugerah Penjaring Terbanyak dengan 17 gol.

Selain piala dan pingat, juara membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah $3,000, manakala naib juara mendapat $2,000 dan pemenang tempat ketiga menerima $1,000.

Sebanyak 11 buah pasukan menyertai liga berkenaan musim ini. PBDB FT di tempat kelima dengan 18 mata, disusuli Rizfiz FT di tempat keenam dengan 15 mata.

Street United FT (30 jaringan) dan Pega Star FC (28 jaringan), masing-masing dengan 9 mata di tempat ketujuh dan kelapan.

Manakala tiga pasukan terbawah: NFT (34 jaringan), First Five FT (32 jaringan) dan BIO FT (31 jaringan) mengumpul 6 mata masing-masing di tempat kesembilan, ke-10 dan ke-11.

ARTIKEL YANG SAMA