Kota Junior pamer aksi cemerlang

Kota Junior pamer aksi cemerlang

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Kota Junior melaungkan amaran kepada sembilan pasukan lain yang menyertai Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 apabila menang bergaya 7-1 ke atas juara Piala Perdana Futsal TelBru 2015, BIO FT dalam perlawanan Piala Sumbangsih Futsal 2016 pada malam Sabtu lalu.

Ledakan lima gol Kota Junior pada separuh masa kedua memberikan perbezaan ketara taraf kedua-dua pasukan itu selepas BIO FT buat seketika berjaya mendahului 1-0 sebelum Kota Junior bangkit mendahului perlawanan 2-1 sehingga rehat.

Kesilapan taktik sepakan penjuru Kota Junior pada ketika perlawanan baru berlangsung dua minit dihukum oleh Muhammad Izrat, yang berjaya memintas bola dan terus berlari pantas meninggalkan semua pemain Kota Junior sebelum mudah mengelirukan penjaga gol lawan untuk memberikan kejutan awal mendahului 1-0.

Kota Junior yang dibarisi ramai pemain kebangsaan tetap tenang walaupun ketinggalan dan berbekalkan hantaran terancang dan bakat individu pemainnya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan BIO FT sehingga menyebabkan Muhammad Izrat terjaring ke gawang sendiri pada minit ke-4, dalam cubaannya menghalang bola sepakan Mohd Faiz.

Beberapa saat kemudian, Kota Junior pula mengemudi perlawanan, 2-1, menerusi kemahiran individu Nur Yamin yang berjaya melepaskan dirinya daripada kawalan dua pemain BIO FT sebelum melakukan rembatan kencang kaki kiri dari luar petak yang menerjah ke sudut kiri bawah gawang lawan.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud ketika menyerahkan Piala Sumbangsih Futsal 2016 kepada pemenang.
Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud ketika menyerahkan Piala Sumbangsih Futsal 2016 kepada pemenang.

Kota Junior banyak memiliki peluang-peluang keemasan untuk menambah jaringan pada babak pertama itu tetapi kecekapan penjaga gol BIO FT berjaya menidakkan kesemua peluang itu untuk membantu pasukannya kekal bersaing pada kedudukan 2-1 sehingga rehat.

Cerita berbeza dilakar juara Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 itu apabila berjaya menggegarkan gawang BIO FT sebanyak empat kali hanya dalam tempoh empat minit pertama separuh masa kedua untuknya selesa mendahului 6-1. Ketua pasukan, Faizul Jefry memulakan ‘amukan’ Kota Junior seminit selepas rehat disusuli oleh Mohd Faiz pada minit ke-23, kali ini jaringan dicatatkan atas namanya untuk merubah kedudukan menjadi 4-1.

Muhd Aziquddin dan Nur Yamin masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-24 untuk terus memberikan keselesaaan buat Kota Junior mendahului 6-1. Kota Junior mendapat gol ketujuhnya pada minit ke-27 menerusi rembatan Maziri Maidin.

Perlawanan kedua Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 di tempat yang sama, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) pula menyaksikan Street United menang 3-1 ke atas Pega Star FC.

Street United FC mendahului 1-0 pada babak pertama hasil jaringan Mohd Abdul Azim pada minit ke-18. Awangku Hamirul menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-24 iaitu empat minit selepas rehat.

Awangku Mohd Azizul berjaya merapatkan jurang kedudukan kepada 1-2 buat Pega Star FC pada minit ke-33 untuk menaikkan semangat mengejar pasukannya tetapi Awangku Hamirul menghasilkan gol peribadi keduanya pada minit ke-35 untuk ‘membunuh’ semangat kebangkitan lawan sekaligus memuktamadkan keputusan 3-1.