Kota Junior pertahan kemaraan

Kota Junior pertahan kemaraan

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Empat perlawanan Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 dijalankan minggu ini dengan perlawanan tumpuan menyaksikan juara bertahan, Kota Junior terselamat daripada kebangkitan lewat Arbisyam FC sebelum mampu menarik nafas lega menang 2-1.

Kemenangan kali keenam berturut-turut Kota Junior terutama sekali ke atas satu daripada tiga pencabar utamanya musim ini berkenaan membolehkannya terus gah di persada liga dengan 18 mata, tatkala perlawanan seterusnya juga akan menjadi cabaran besar buat pendahulu semasa itu kerana perlu berdepan dengan MS ABDB.

Naib juara musim lalu, Shah United FC pula terus memberikan tekanan kepada Kota Junior apabila turut menang enam kali berturut-turut menerusi kemenangan 5-1 ke atas Pega Star FT.

Dua lagi perlawanan minggu ini menyaksikan Rizfiz FT menang 5-3 ke atas First Five FT, manakala pertarungan sengit antara PBDB FT dengan Street United FT berkesudahan 5-4 memihak Street United FT.

Pada perlawanan tumpuan minggu ini, Kota Junior hanya mendahului 1-0 masuk ke masa rehat hasil jaringan Abdul Muinudin pada minit ke-9, sebelum Awangku Mohd Naqib menambah jaringan hanya enam minit selepas rehat untuk pendahuluan 2-0.

Kota Junior selaku juara bertahan terus mencengkam persada Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 apabila menang 2-1 ke atas Arbisyam FC.
Kota Junior selaku juara bertahan terus mencengkam persada Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 apabila menang 2-1 ke atas Arbisyam FC.

Syazwan menjadikan pertarungan di penghujung masa perlawanan bertambah menarik dan sengit apabila berjaya menggegar gawang Kota Junior pada minit ke-37, namun Kota Junior bertahan untuk menang 2-1 dan membawa pulang tiga mata penuh.

Arbisyam FC yang baru saja mencatat kemenangan penting, 3-2 ke atas pemenang tempat ketiga musim lalu, MS ABDB, melihat peluangnya untuk mencabar kejuaraan semakin pudar selepas kekalahan keduanya musim ini berkenaan, namun kekal dalam laluan sekurang-kurangnya mencapai kedudukan Tiga Terbaik.

Walaupun tewas, Arbisyam FC kekal di tempat ketiga dengan 12 mata, sama dengan MS ABDB, hanya saja Arbisyam FC memiliki jaringan lebih tinggi iaitu 23 gol berbanding 21 gol catatan MS ABDB, tatkala kedua-dua pasukan sama-sama memiliki +9 perbezaan gol.

Shah United FC pula tidak menghadapi masalah besar ketika berdepan Pega Star FT walaupun sekadar mendahului 1-0 pada babak pertama, berkat ledakan empat lagi jaringan pada babak kedua ketika Pega Star FT hanya berjaya sekali membolosinya.

Abdul Muiz membuka tirai jaringan Shah United FC pada minit ke-9, disusuli gol kedua oleh Awangku Mohd Shukri seminit selepas rehat, Mohd Arif pada minit ke-29, Mohd Ulfi pada minit ke-33 dan Mohd Abi Syarilizam seminit sebelum masa tamat.

Jaringan tunggal Pega Star FC pula hadir pada minit ke-37 hasil rembatan Mohd Fadhli.

Rizfiz FT pula naik satu anak tangga ke kedudukan kelima dengan 12 mata, memintas PBDB FT yang tewas oleh Street United FT. Street United FT walaupun menang ke atas PBDB, kekal di tempat ketujuh dengan 9 mata, sama dengan PBDB FT yang memiliki 27 jaringan berbandingnya hanya 20 jaringan.

First Five FT kekal di tempat ke-10, masih dengan hanya tiga mata daripada enam perlawanan yang sudah dilaluinya.

Kini semua pasukan sudah bermain enam kali kecuali pasukan tercorot, BIO FT yang sudah pun melalui tujuh perlawanan.