Kota Marudu, hab ekonomi Sabah Utara

Kota Marudu, hab ekonomi Sabah Utara

KOTA MARUDU, 2 Okt (Bernama) – Perancangan rapi diperlukan untuk melaksanakan program dan projek pembangunan yang seiring dengan hasrat menjadikan Kota Marudu hab ekonomi Sabah Utara, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili.

Maximus yang merupakan Anggota Parlimen Kota Marudu berkata bagi menjayakan usaha itu, agensi-agensi kerajaan perlu berkoordinasi secara baik dalam merancang pembangunan daerah ini.

Beliau berkata penyelarasan antara Majlis Pembangunan Luar Bandar dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Sabah Electricity Sdn Bhd, Jabatan Pertanian dan Jabatan Air adalah penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pembangunan yang dirancang. Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Luar Bandar yang menjadi sekratariat agensi-agensi di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, di sini hari ini.