Kota Ranger FC juara Liga Perdana

Kota Ranger FC juara Liga Perdana

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Kota Ranger FC mengesahkan statusnya sebagai juara mutlak apabila memberikan kekalahan pertama kepada Tabuan U18 dalam perlawanan penutup tirai kempen Liga Perdana DST 2015 malam tadi dengan jaringan tipis 1-0.

Gol tunggal perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu telah dijaringkan oleh Abang Norsillmy bin Abang Haji Taha pada minit ke-73 menerusi sepakan penalti.

Kota Ranger FC muncul juara Liga Perdana DST 2015 setelah mengumpul 28 mata, manakala Tabuan U18 dengan 21 mata muncul naib juara dan Kasuka FC di tempat ketiga dengan 20 mata.

Menyaksikan perlawanan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemain tiga pasukan terbaik, dua anugerah individu dan satu anugerah pasukan ialah Penolong Pengurus Am, Bahagian DST Perkhidmatan IT, Awang Amir bin Pehin Dato Haji Hussin sambil diiringi Pengarah Pertandingan NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah.

Hadiah ‘Fair Play’ dimenangi pasukan tangga keempat, Panchor Murai FC. Anugerah penjaring terbanyak dirangkul pemain dari pasukan tempat kelima, Setia Perdana iaitu Haji Rahimni bin Haji Pundut yang menjaringkan 16 gol daripada keseluruhan 21 gol pasukannya. Pemain Terbaik Liga Perdana 2015 pula dimenangi ketua pasukan Tabuan U18, Mohd Akif bin Haji Roslah.

Kota Ranger FC muncul juara Liga Perdana DST 2015 selepas menewaskan Tabuan u18 semalam.
Kota Ranger FC muncul juara Liga Perdana DST 2015 selepas menewaskan Tabuan u18 semalam.

Tabuan U18 walaupun tewas, boleh menang atau sekurang-kurangnya mengikat kedudukan jika peluang dimanfaatkan lebih-lebih lagi ketika beraksi dengan kelebihan seorang pemain pada minit ke-89 dan lebih dua orang pemain pada minit ke-90+2.

Perlawanan dua pasukan teratas yang belum tewas ternyata sengit dan berlangsung bersih sehinggalah M Faizul Ambutang menerima kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-89 dan pada minit ke-90+2, Abang Norsillmy pula dilayangkan kad merah.

Kejayaan mencatat sembilan kemenangan dan satu seri dalam kempennya musim ini melayakkannya bersaing di liga atasan musim depan iaitu Liga Super DST 2016 sekali gus memberikan amaran kebangkitan Kota Ranger FC dalam persaingan liga domestik seperti dalam era 80-an dan 90-an.

Berbanding pencapaiannya musim lalu yang hanya menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan, dan hanya mengumpul empat mata, Kota Ranger FC melalui rombakan besar musim ini dengan penyerapan pemain lama termasuk pemenang Piala Malaysia 1999 seperti Abang Norsillmy dan Pengiran Sallehuddin bin Pengiran Haji Damit. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA