Kota Ranger FC kekal unggul

Kota Ranger FC kekal unggul

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Kota Ranger FC mencatat rekod kemenangan ketujuh berturut-turutnya dalam Liga Perdana DST 2015 setelah bangkit dari ketinggalan 0-1 kepada Rimba Star FC untuk menang 5-2 malam tadi.

Abang Norsillmy bin Abang Taha muncul wira Kota Ranger FC dengan cetakan empat gol, dua jaringan pada setiap separuh masa, sebelum ditambah oleh Pengiran Sallehuddin bin Pengiran Damit pada masa kecederaan.

Rimba Star FC mendahului perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan 1-0 pada minit ke-12 hasil jaringan Awangku Md Nursyafiq bin Pengiran Besar.

Kedudukan menjadi 1-1 apabila Abang Norsillmy mudah menolak bola masuk ke gawang terbuka Rimba Star FC pada minit ke-19 sebelum dia sekali lagi menemui sasaran di gawang Rimba Star FC pada minit ke-35 untuk Kota Ranger FC pula mendahului perlawanan, dengan jaringan 2-1.

Separuh masa kedua baru bermula empat minit apabila kedudukan kembali seimbang, 2-2, setelah Awangku Md Nursyafiq menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya.

Pg Sallehuddin (12) menjaringkan 1 gol dan Abang Norsillmy (11) 4 gol dalam aksi kemenangan 5-2 Liga Perdana DST 2015 Kota Ranger FC (merah) ke atas Rimba Star FC (putih).
Pg Sallehuddin (12) menjaringkan 1 gol dan Abang Norsillmy (11) 4 gol dalam aksi kemenangan 5-2 Liga Perdana DST 2015 Kota Ranger FC (merah) ke atas Rimba Star FC (putih).

Dua puluh minit berselang iaitu pada minit ke-69 barulah Abang Norsillmy berjaya melakukan hatrik diikuti dengan gol keempat peribadi dan pasukannya pada minit ke-71 untuk menyukarkan lagi tugas Rimba Star FC mengejar.

Pengiran Sallehuddin mematikan sama sekali semangat pemain Rimba Star FC apabila menjaringkan gol kelima Kota Ranger FC pada minit ke-90+1 sekaligus memuktamadkan keputusan 5-2.

Kota Ranger FC kini di puncak Liga Perdana DST 2015 dengan 21 mata dari tujuh perlawanan, mencetak 21 jaringan dan dibolosi 11 kali. Tabuan U18 dengan 21 mata dari sembilan perlawanan jatuh ke tangga kedua kerana tewas dari segi perbezaan gol kerana baru mencatat 12 jaringan dan 5 bolos. Kasuka FC dengan 19 mata jatuh ke tempat ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA