Kota Ranger FC mara ke pusingan ketiga

Kota Ranger FC mara ke pusingan ketiga

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Juara Liga Perdana DST 2015, Kota Ranger FC dipaksa berhempas pulas oleh lawan seliganya, Tunas FC sebelum berjaya menempah tiket ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015.

Tunas FC mengawal perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu dengan sering melakukan serangan-serangan pantas menerusi pemain-pemain lincah dan pantasnya terutama sekali Mohd Azril bin Mohd Ali dari sayap kiri dan tengah namun nasib ternyata lebih memihak Kota Ranger FC untuk menang tipis 2-1.

Pemain Tunas FC nampak bertenaga sedari sepak mula, memperlihatkan permainan berpasukan lebih mantap berbanding aksinya dalam liga sehingga bukan saja berjaya mencuri perhatian penonton tetapi turut mendahului perlawanan 1-0 pada minit ke-17 hasil jaringan Mohd Ari Saizulfadhli bin Ariffin.

Serupa seperti aksinya dalam liga walaupun pada masa sukar dan tertekan, Kota Ranger FC masih mampu mendapatkan jaringan dalam serangan yang jarang dilakukan, hanya lima minit selepas gol pendahuluan Tunas FC sekali gus mengikat kedudukan pada 1-1.

Pemain Kota Ranger FC, Ediruslan ketika mengawal bola sambil dikejar Mohd Azril dalam aksi pusingan kedua Piala FA DST 2015.
Pemain Kota Ranger FC, Ediruslan ketika mengawal bola sambil dikejar Mohd Azril dalam aksi pusingan kedua Piala FA DST 2015.

Tujuh minit sebelum separuh masa pertama berakhir, Abang Nur Hilman bin Abang Nor Hillmy memberikan Kota Ranger FC gol pendahuluan yang dicari sebelum rehat untuk membawa kedudukan 2-1 ke separuh masa kedua.

Tunas FC terus mempamerkan aksi bertenaga pada babak kedua dengan serangan-serangan pantas dan hantaran-hantaran antara pemain pertahanan lawan, cuma penyudah kurang berkesan dan kurang tepat menyelamat gawang Kota Ranger FC dari dibolosi.

Kota Ranger FC akhirnya menarik nafas lega ketika pengadil meniupkan wisel penamat tanpa ada lagi jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan untuk keputusan muktamad 2-1.

Kota Ranger FC kini hanya perlu berharap bukan pasukan teratas Liga Super DST 2015 menjadi lawannya pada pusingan ketiga nanti iaitu selepas undian dijalankan sejurus selesainya pusingan kedua kejohanan pada Sabtu, 1 November ini.

ARTIKEL YANG SAMA