Kotak hitam jet Rusia dibuka

Kotak hitam jet Rusia dibuka

MOSCOW, 18 Dis (AFP) – Dengan kehadiran pakar-pakar asing, pegawai Rusia hari ini membuka kotak hitam yang musnah kepunyaan pesawat perang yang ditembak jatuh oleh Turki, menjanjikan siasatan telus ke atas insiden itu.

Para pegawai Rusia membuka perakam penerbangan berwarna jingga itu ketika para pakar dari China dan Britain menyaksikan prosedur berkenaan, menurut koresponden AFP.

Memakai kot makmal, juruteknik menggunakan pemutar skru, gerudi dan pembersih hampa gas ketika mereka membuka alat berkenaan di hadapan mata-mata kakitangan tentera dan berpuluh jurnalis yang menyaksikan dalam siaran langsung televisyen.

Penemuannya akan didedahkan pada Isnin, menurut pasukan udara.

Sergei Dronov, timbalan ketua komander pasukan udara Rusia, mengatakan alat itu sedang dianalisis ‘terbuka buat Rusia dan orang awam antarabangsa’ selepas Presiden Vladimir Putin mengarahkan ia dibuka hanya dengan kehadiran pakar-pakar luar negeri.

Seorang pegawai tentera Rusia menunjukkan perakam penerbangan dari pesawat Sukhoi Su-24 milik Rusia yang ditembak jatuh oleh jet Turki pada 24 November. – AFP
Seorang pegawai tentera Rusia menunjukkan perakam penerbangan dari pesawat Sukhoi Su-24 milik Rusia yang ditembak jatuh oleh jet Turki pada 24 November. – AFP

Moscow dan Ankara telah terlibat dalam pertikaian hebat berhubung penembakan jatuh jet Su-24 oleh Turki pada 24 November, yang membawa kepada kematian seorang juruterbang dan anggota tentera lain yang cuba menyelamatkannya.

Ia adalah korban peperangan pertama Rusia berhubung kempen Syria.

Turki mengatakan jet Rusia berlegar di ruang udaranya dan tidak mengendahkan amaran berulang kali, sementara Moscow menegaskan ia tidak menyeberangi negara itu dari Syria dan menuduh Ankara merancang provokasi.

“Kami mempunyai bukti yang cukup untuk membuktikan yang pesawat udara Rusia itu tidak mencabul ruang udara Turki,” kata Dronov, menambah yang pesawat ditembak jatuh itu telah terbang di ruang udara Syria 5.5 km dari sempadan bersama Turki.

Dronov mengatakan kotak hitam yang dipertontonkan kepada awam pada Jumaat itu tidak disentuh sejak ia ditemui dari tapak terhempas.

Komander pasukan udara mengatakan 14 buah negara telah diundang untuk memantau penyiasatan itu namun hanya China dan Britain telah menerima tawaran itu.

ARTIKEL YANG SAMA