Kovalev tumbangkan Mohammedi

Kovalev tumbangkan Mohammedi

LAS VEGAS, 27 Julai (AFP) – Sergey Kovalev mencatat pukulan KO ke atas Nadjib Mohammedi di pusingan ketiga perlawanan merebut gelaran light heavyweight dunia, kelmarin.

Peninju berusia 32 tahun dari Russia itu membuatkan lawannya tersungkur di gelanggang sejak pusingan kedua di Mandalay Bay sebelum menamatkan perlawanan di pusingan ketiga sekali gus membuktikan mengapa kelibatnya perlu ditakuti semua pesaing selepas ini.

Kovalev meningkatkan rekod peribadinya kepada 28-0-1 dan mencatat KO dalam 11 dari 12 pertemuan terakhirnya. Catatan KO itu juga adalah yang ke-25 baginya sepanjang karier.

Kovalev mula bertarung di Vegas empat tahun lalu tetapi ini adalah kali pertama dia muncul dalam acara utama. Juara WBO, WBA dan IBF itu menggunakan Mohammedi dari Perancis sebagai sasaran ketika latihan dan dia mengasak sejak awal menerusi tumbukan padu.

Di hujung pusingan kedua, tumbukan tangan kanan Kovalev singgah di muka Mohammedi disusuli kombinasi tangan kiri sekali gus membuatkan lawannya itu tumbang.

“Ia adalah satu pertarungan yang penting. Saya gembira kerana mendapat kemenangan dan menyelamatkan tali pinggang saya,” kata Kovalev.

Kovalev cuba memanjangkan pertarungan malah menggesa Mohammedi, 30, untuk bangun dari kanvas selepas jatuh buat kali kedua.

Mohammedi menjadi lawan mandatori Kovalev selepas menumbangkan Anatoliy Dudchenko Jun lalu.