KPDNKK Sarawak akan gempur cetak rompak lagu-lagu Dayak/Iban

KPDNKK Sarawak akan gempur cetak rompak lagu-lagu Dayak/Iban

SIBU, 6 Jan (Bernama) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak akan lebih agresif dalam menggempur aktiviti penjualan DVD/VCD cetak rompak lagu-lagu Dayak/Iban.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNKK negeri Abd Hafidz A Rahim memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan ke atas peniaga yang menjual DVD/VCD cetak rompak.

“Tindakan menjalankan kegiatan cetak rompak adalah perbuatan tidak bermoral dengan mengaut keuntungan hasil kerja orang lain.

“Kegiatan ini akan menyekat industri muzik tempatan daripada berkembang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi membuktikan keseriusan KPDNKK dalam menangani perkara tersebut, Skuad Elit Penguat kuasanya baru-baru ini menyerbu empat premis di Bahagian Sarikei yang menjalankan perniagaan DVD/VCD cetak rompak di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Sebanyak 818 DVD/VCD cetak rompak lagu Iban dengan pelbagai tajuk telah disita dalam serbuan itu.

Antaranya ialah VCD MTV karaoke artis Gordon John (Pengerindu Terpanggai); Mulan Winnie Albert (Lagu Terbilang); Melvin (Sulu Pegi Ninggal Ke Semaia); Monica Elen (Aku Bisi Nuan); dan Lucy M (Minta Ngatur Pekara Tua).

“Hasil serbuan telah berjaya menghasilkan tiga kes dan pendakwaan akan dilakukan tidak lama lagi,” kata Abd Hafidz tanpa mengulas tangkapan yang dibuat.

Siasatan dibuat di bawah Perkara 4(4) a Perintah Perihal Dagangan (LCO) 2010, Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, 000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.