KPDNKK Sarawak rampas komputer dan perisian

KPDNKK Sarawak rampas komputer dan perisian

KUCHING, 22 Okt – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak dengan kerjasama petugas Business Software Alliance (BSA) menyerbu dua premis perniagaan di Tabuan Jaya di sini dan merampas beberapa peralatan komputer dan perisian yang disyaki digunakan tanpa lesen, yang menjangkau nilai lebih RM575,000.

Timbalan Pengarahnya Abdul Hafidz A Rahim berkata dalam serbuan pertama di sebuah syarikat perkilangan (manufacturing) Selasa lalu pihaknya merampas empat komputer peribadi bernilai kira-kira RM12,000 dan 20 perisian pelbagai jenis bernilai dalam lingkungan RM488,000.

Operasi berikutnya pada keesokan hari membabitkan serbuan ke atas sebuah syarikat reka bentuk dalaman di kawasan berhampiran, dan pihaknya merampas tiga komputer peribadi bernilai sekitar RM9,000 dan 20 perisian yang nilainya dianggar RM66,000.

Bercakap pada sidang media di pejabat KPDNKK Sarawak di sini hari ini beliau berkata pihaknya mengambil keterangan daripada tiga pekerja premis perniagaan terbabit untuk tindakan lanjut, dan antara perisian yang rampas ialah seperti AutoCad, AutoDESK, dan Microsoft.

Abdul Hafidz berkata pihaknya memandang serius kegiatan menggunakan perisian tanpa lesen oleh pelbagai syarikat bagi tujuan perniagaan kerana ia membabitkan soal harta intelek dalam satu industri yang besar.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987, yang boleh membawa hukuman denda antara RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama