Kpg Amo, Serdang adakan rondaan

Kpg Amo, Serdang adakan rondaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Penglibatan orang ramai dalam operasi pencegahan jenayah menerusi rondaan-rondaan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei amat penting dalam menjadikan suasana kehidupan masyarakat sentiasa terpelihara serta bebas jenayah.

Ke arah itu, Daerah Polis Temburong baru-baru ini mengadakan rondaan bersama membabitkan 15 orang anggota polis dan lima orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Amo.

Sebelum memulakan operasi, taklimat ringkas mengenai situasi jenayah di Kampong Amo disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Percubaan (Probationary Inspector of Police) Renynold @ Daniell Chin, selaku ketua operasi.

Turut hadir, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penguasa Polis Muhammad Azrie bin Haji Talip, Pegawai Penyelia Detektif Daerah Polis Temburong Inspektor Percubaan Awangku Muhammad Adib bin Pengiran Haji Kamaruddin, Penghulu Mukim Amo Haji Bahrum bin Haji Talip selaku Penasihat Pengawasan Kejiranan dan Ketua Kampung Amo Awang Hujan anak Muit selaku Pengerusi Pengawasan Kejiranan Kampung Amo.

Gambar ramai ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Serdang.
Gambar ramai ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Serdang.

Rondaan pencegahan jenayah menyasarkan di kawasan Kampung Amo seperti di kawasan Kampung Amo ‘A’, sekitar kawasan Rumah Panjang Kampung Amo ‘B’, sekitar kawasan Rumah Panjang Kampung Amo ‘C’, sekitar kawasan Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru, sekitar kawasan Rumah Panjang Kampung Sumbiling Lama, sekitar kawasan Rumah Panjang Kampung Batang Duri, di kawasan jalan menuju ke Outward Bound, Kampung Batang Duri, Temburong, di kawasan sekitar Taman Batang Duri, Temburong, di kawasan Balai Raya Mukim Amo dan menuju ke jalan Perkuburan Orang Iban Kampung Amo.

Sepanjang operasi dijalankan tidak ada perkara yang menyalahi undang-undang didapati.

Sementara itu, Balai Polis Pusat turut mengadakan operasi serupa bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Serdang, Ahad lalu yang disertai 13 orang anggota dari Balai Polis Pusat dan 12 ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Serdang.

Mengetuai operasi ialah Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Penolong Penguasa Polis Haji Naguib bin Dato Paduka Haji Ismail dan Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Inspektor Faisal Iswandy bin Ali Othman. Turut serta ialah Ketua Kampung Serdang, Awang Muhamad bin Bakar.

Rondaan tersebut julung-julung kalinya diadakan bagi Kampung Serdang dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang telah dilaporkan dan sebagai pencegahan jenayah supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini di kampung tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA