KPJ bina 2 hospital di Sarawak

KPJ bina 2 hospital di Sarawak

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) – KPJ Healthcare Berhad akan membina dua hospital baharu di Sarawak bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dijangka meningkat berikutan pertumbuhan pesat ekonomi negeri ini.

Hospital berkenaan ialah Hospital Pakar KPJ Kuching (KuCH) dan Hospital Pakar KPJ Miri.

Pengerusi (KuCH) Abdul Wahab Baba berkata Hospital Pakar Kuching baharu itu akan dibina di kawasan 1.918 hektar di BDC di sini dengan anggaran kos RM100 juta.

Menurut beliau, hospital itu dijangka mula beroperasi pada 2017 dan mempunyai 150 katil dalam fasa pertama pembinaannya.

“Sebagai satu daripada hospital yang diberi penarafan paling tinggi dari segi penjagaan pesakit, matlamat KPJ ialah untuk memberi kepada pesakit pengalaman paling memuaskan hati, daripada perkhidmatan diagnosis, hinggalah kepada rawatan,” katanya pada majlis perasmian MR1 1.5 Telsa oleh Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil di sini hari ini.

Selain KuCH, hospital KPJ lain di Sarawak ialah Pusat Pakar Perubatan KPJ Sibu (KPJ Sibu) dan Love Care Centre (pusat kejururawatan dan penjagaan geriatrik).

Abdul Wahab berkata sejak pembukaan hospital pertamanya pada 1981, KPJ berkembang menjadi antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia, dengan mempunyai 25 hospital di seluruh negara, dua di Indonesia, satu di Bangladesh dan memegang banyak saham dalam sebuah hospital di Thailand.

Menurut beliau, pada 2014, hospital KPJ memberi perkhidmatan kepada lebih 2.8 juta pesakit, berbanding 2.7 juta pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, pengarah perubatan KusH, Dr David Ling Sheng Tee berkata, ketika ini, 17 doktor tempatan berkhidmat dengan KuSH dan 12 lagi dengan Hospital Pakar Sibu.

“KPJ juga sedang berusaha untuk membawa pulang doktor Malaysia yang berkhidmat di luar negara, termasuk di Taiwan dan United Kingdom dan setakat ini, kami berjaya membawa pulang 12 doktor Malaysia dari Taiwan,” katanya.