KPPMS luluskan bajet lebih $400,000

KPPMS luluskan bajet lebih $400,000

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Okt – Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Seria Berhad (KPPMS), melalui mesyuarat agungnya baru-baru ini telah meluluskan bajet sejumlah lebih $400,000 untuk digunakan bagi perkara-perkara yang boleh membangunkan perniagaan syarikat.

Pengerusi KPPMS, Haji Ahmad bin Haji Hassan memberitahu, jumlah bajet perbelanjaan itu telah dibuat pecahan tertentu dan akan digerakkan oleh ahli jawatankuasa yang baru bagi tempoh setahun sebelum berlangsungnya mesyuarat agung tahun depan.

Semasa ditemui Media Permata hari ini, Haji Ahmad yang telah dipilih semula memegang jawatan selaku pengerusi melalui persetujuan undi daripada kalangan ahli-ahli koperasi memberitahu bahawa walaupun pada masa ini terdapat perniagaan pelaburan KPPMS yang agak menurun ekoran keadaan kelembapan ekonomi dihadapi oleh seluruh dunia, tetapi mereka tetap teguh akan memantapkan perniagaan syarikat yang berbentuk pelaburan jangka masa panjang.

Antaranya, pelaburan dari segi aset iaitu sewa kedai, sewa sebuah rumah banglo, penanaman lebih 200 batang pokok gaharu, pelaburan dengan negara jiran yang menghasilkan produk berasaskan Sarang Burung Walid, stesen minyak, penyewaan bas, hotel dan pembinaan bangunan juga untuk disewakan, yang sedang dalam proses kelulusan, dan semua itu masih boleh mendatangkan pendapatan yang stabil kepada koperasi berkenaan.

Menyentuh tentang pelaburan KPPMS dalam jualan minyak di stesen minyak mereka yang terletak di Pekan Seria, beliau menyatakan bahawa pendapatan mereka kekal dalam kadar sebulan kira-kira $7,000 ke atas, ini juga disebabkan keadaan keluasan stesen mereka yang ada pada masa ini dan syarikat tidak dapat menempatkan penambahan tangki minyak.

Haji Ahmad semasa ditemui Media Permata kelmarin.
Haji Ahmad semasa ditemui Media Permata kelmarin.

“Kami pernah memohon penambahan tanah satu lot di kawasan belakang stesen, tetapi tidak diluluskan, selain itu mereka juga masih menunggu keputusan ura-ura stesen mereka hendak dipindahkan di kawasan Rakyat Jati Seria, tetapi juga masih menunggu keputusannya, kerana kami tidak mahu menutup stesen sebelum ada kepastian dan kelulusan tempat untuk dipindahkan dan kami tidak mahu mencari sendiri tempat untuk berpindah.

“Begitu juga permohonan mereka untuk menutup tangki minyak Super kepada Ron97, juga masih menunggu kelulusan,” jelasnya lagi.

Dalam perniagaan hotel pula, beliau berkata, sejak terdapatnya dua buah hotel lain di Pekan Seria, KPPMS menghadapi saingan menyebabkan kekurang pelanggan, tetapi perkara itu sudah dalam proses untuk diatasi seperti membuat promosi pakej penginapan lima hari dan percuma pada hari keenam dan pada masa ini pengurangan harga sebanyak sepuluh peratus memang sudah dilakukan.

“Kemerosotan perniagaan hotel, bukan hanya dihadapi oleh KPPMS tetapi juga peniaga-peniaga lainnya, sebab utamanya ialah keadaan ekonomi pada masa ini sejak kejatuhan harga minyak dunia.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah perniagaan koperasi, kami akan terus berusaha melakukan perkara-perkara yang berstrategi demi mengekalkan perniagaan berkenaan, di samping perniagaan-perniagaan lainnya dalam koperasi.

Beliau turut memberitahu bahawa mereka juga merancang untuk menambah sebuah lagi bas sewa sekolah, memandangkan bas yang ada pada masa ini sudah berusia lapan tahun dan syarat dihentikan perjanjian sewa dengan Kementerian Pendidikan adalah sehingga sepuluh tahun sahaja.

Bagi pelaburan tanaman pokok gaharu di kawasan Sungai Gana, Sungai Liang, di atas tanah syarikat seluas dua ekar, beliau memberitahu bahawa dalam mesyuarat selepas mesyuarat agung baru-baru ini, koperasi telah memikirkan balik untuk membina sebuah bangunan lagi di kawasan berhampiran dengan tanah kawasan penamanan gaharu.

Katanya, pelan bangunan sudah dibuat hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tertentu dan bangunan itu nanti akan digunakan juga untuk penempatan pekerja tanaman gaharu, selain juga untuk disewakan.

Seminggu selepas Mesyuarat Agung KPPMS, lapan orang ahli lembaga pengarah yang lama telah dilantik semula memegang jawatan, dengan tambahan seorang ahli yang baru, di mana Haji Ahmad bin Haji Hassan telah diberikan kepercayaan untuk memegang semula jawatan sebagai pengerusi koperasi tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA