KPSSU, BV meterai perjanjian

KPSSU, BV meterai perjanjian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), hari ini, telah menandatangani Kontrak Perjanjian Perkhidmatan Pengauditan dan Persijilan ISO 9001:2008 dengan Syarikat Bureau Veritas (BV), di majlis yang berlangsung di Dewan Seri Pahlawan KPSSU.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Menandatangani bagi pihak KPSSU ialah Timbalan Setiausaha Tetap Pembangunan dan Keusahawanan, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid manakala Syarikat BV diwakili oleh Pengurus Persijilan BV Brunei, Ram Madhukar Desai.

Terdahulu, Haji Khairuddin telah menerangkan mengenai program ISO 9001:2008 kementerian berkenaan yang menurutnya Projek Konsultasi Pembangunan Sistem ISO 9001:2008 kementerian berkenaan mula dilaksanakan pada 1 April 2014 yang lalu yang mana sebanyak 15 jabatan, bahagian, pusat di bawah kementerian ini disenaraikan untuk mengikuti pembangunan prosedur mengikut sistem ISO 9001:2008.

Yang Berhormat Pehin Haji Yahya (tengah) menyaksikan pertukaran kontrak perjanjian antara KPSSU dan BV.
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya (tengah) menyaksikan pertukaran kontrak perjanjian antara KPSSU dan BV.

“Sepanjang pembangunan tersebut, skop perkhidmatan telah dikenal pasti untuk dimuatkan dan disalurkan ke dalam sistem ISO 9001:2008,” jelasnya.

Dalam program ini, seramai 12 orang Perwakilan Pengurusan Kualiti (QMR), 31 Perwakilan Pembantu Pengurusan Kualiti (AQMR) dan 45 juru audit dalaman telah dilantik dari 15 jabatan, bahagian dan pusat. Menurut beliau lagi, kesemua peserta dari jabatan, bahagian dan pusat berkenaan telah dilatih dan memberikan komitmen cemerlang dalam sama-sama mencapai keperluan persijilan standard ISO 9001:2008.

Sementara itu, menurut kenyataan KPSSU, antara objektif perkhidmatan dan persijilan ISO 9001:2008 ini adalah untuk memperbaiki dan mengukuhkan perkhidmatan pelanggan berdasarkan sistem kualiti pengurusan, memastikan dokumen yang teratur dan penyelenggaraan perkhidmatan melalui pengawasan audit selain memberi galakan penambahbaikan yang berterusan ke arah kecemerlangan dan sistem pengurusan berkesan.

Di samping itu, ia juga adalah untuk meningkatkan ketelusan dan penglibatan dari semua peringkat kakitangan seterusnya mendapat keyakinan dan pengiktirafan dari orang ramai selain mengetuai lain-lain agensi kerajaan bagi terus menambah baik penyampaian perkhidmatan berdasarkan sistem pengurusan yang diiktiraf.