KPSSU gandakan usaha

KPSSU gandakan usaha

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Usaha terus digandakan oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama bagi mencapai sasaran meningkatkan kadar penghasilan beras negara sehingga mencecah sasaran sara diri 60 peratus.

Menterinya, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar berkata, ini termasuklah memperkenalkan pelbagai jenis padi untuk meningkatkan kadar pengeluaran beras serta juga bantuan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran para peladang padi tempatan.

Katanya, usaha itu turut melibatkan bantuan pemantauan kegiatan ladang, khidmat nasihat dan juga bantuan kemudahan prasarana ladang termasuk pengaliran yang baik serta menyediakan kemudahan-kemudahan ladang yang teratur dan berkualiti.

“Dalam meningkatkan hasil pengeluaran padi, keadaan ladang juga harus diberikan keutamaan ke arah mencapai matlamat utama bagi meningkatkan penghasilan atau pengeluaran padi sehingga mencapai 60 peratus,” katanya dalam temu bual bersama pihak media selepas Majlis Menanam Padi Laila di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis, Kampung Limau Manis, hari ini.

“Diharap dengan ladang yang baik itu, akan dapat membantu dalam mencapai penghasilan padi di mana ladang padi yang baik, bermutu serta berkualiti mampu untuk menghasilkan pengeluaran yang lebih banyak.”

Yang Berhormat Pehin menjawab pertanyaan media selepas Majlis Menanam Padi Laila di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis, Kampung Limau Manis, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin menjawab pertanyaan media selepas Majlis Menanam Padi Laila di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis, Kampung Limau Manis, kelmarin.

Mengulas mengenai penanaman padi di kawasan ladang KKP Limau Manis itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa ia ditanam dengan padi varieti atau jenis Laila yang telah dikenal pasti sesuai bagi kawasan berkenaan.

Namun begitu, penilaian terus dibuat bagi mengenal pasti varieti atau jenis-jenis padi lain yang lebih sesuai di tanam di kawasan berkenaan.

Menyentuh mengenai dengan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh peladang di kawasan ladang padi KPP Limau Manis berkenaan, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa cabaran itu masih terus dikenal pasti seperti musuh-musuh padi seperti burung atau binatang perosak di mana ladang itu hanya mula menanam padi untuk beberapa musim sahaja.

Beliau menjelaskan bahawa ladang itu baru menanam padi untuk empat musim dan dari masa singkat itu, masih belum mencukupi waktu bagi menilai jenis-jenis musuh yang menjejaskan penanaman atau hasil padi dari ladang berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa di peringkat awal beberapa musuh tanaman dapat dilihat dan kajian sedang terus dibuat dan jika didapati musuh tanaman yang terdapat di kawasan ladang di Kampung Limau Manis adalah serupa dengan di Wasan maka kaedah yang serupa bagi pengawalan musuh akan dapat digunakan.

“Dari penilaian awal, kawasan penanaman padi di Kampung Limau Manis mempunyai jumlah musuh burung yang banyak seperti burung pipit dan mungkin juga masalah binatang perosak seperti tikus tetapi masalah tikus itu dapat dikurangkan dengan memastikan kawasan ladang adalah bersih.”

Yang Berhormat Pehin berkata satu lagi musuh tanaman adalah musuh serangga yang hadir dari pelbagai cara seperti melalui air dan udara serta perlu dikenal pasti.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya berkata bahawa harapan bagi kawasan ladang di Kampung Limau Manis adalah untuk membantu dalam mencapai sasaran pengeluaran beras 60 peratus sara diri dan sekuriti makanan serta juga memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk turut serta dan bergiat dalam usaha penanaman padi.

Usaha untuk memajukan ladang tanaman adalah melibatkan penduduk kampung di mana seorang ketua ladang dilantik untuk mengawasi ladang berkenaan dengan pihak kerajaan membantu dalam menyediakan kawasan dan infrastruktur ladang tetapi tanggungjawab serta ownership ladang termasuk mengusahakan dan mengeluarkan hasil ladang dilakukan oleh penduduk kampung.

“Memang menjadi hasrat kerajaan bukan sahaja untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi negara tetapi juga untuk melibatkan penyertaan penduduk-penduduk kampung dalam pengeluaran padi di kawasan berkenaan.”

ARTIKEL YANG SAMA