KPSSU hos AEG-IFPP ke-11

KPSSU hos AEG-IFPP ke-11

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perhutanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (KPSSU) mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Pakar mengenai Proses Dasar Hutan Antarabangsa (AEG-IFPP) ke-11 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Perasmian mesyuarat yang berlangsung di Hotel Ba’diah itu telah disempurnakan oleh Pengarah Perhutanan, KPSSU, Awang Saidin bin Salleh selaku tetamu kehormat majlis.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu bahawa 75 peratus daripada keseluruhan kawasan tanah di Negara Brunei Darussalam masih diliputi hutan.

“Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang kecil dan hanya menduduki 1 peratus pulau Borneo, tetapi mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai hutan tropika bertaraf dunia yang mana keseluruhannya masih dalam keadaan bersih dan dilindungi oleh undang-undang,” ujarnya.

Beliau menambah, Brunei juga telah membuat langkah strategi untuk memelihara dan memulihara hutan, pemeliharaan hutan paya gambut, dan bagaimana menangani cabaran kehilangan hutan dan degradasi.

Sesi bergambar ramai bersama ahli delegasi ASEAN.
Sesi bergambar ramai bersama ahli delegasi ASEAN.

Ini termasuk undang-undang asas bagi pentadbiran hutan negara seperti tanah hutan simpanan, penuaian hasil hutan, penalti atas kesalahan, preskripsi royalti hutan, bio-prospecting, penjagaan, penguat kuasa hutan dan lain-lain lagi, jelasnya.

Menurut beliau lagi, Undang-undang dan Dasar kebangsaan Hutan akan diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan pelan Induk Kebangsaan atau Wawasan 2035.

“Perlaksanaan strategi ini akan berjalan selama lima tahun di bawah Pelan Pembangunan Kebangsaan yang menyediakan peruntukan projek dan program yang akan memudahkan pembangunan ekonomi dan persekitaran,” katanya.

Dalam mesyuarat ke-11 ini, delegasi akan menyentuh isu-isu pengurusan hutan yang mampan, Program Hutan Antarabangsa, “Reducing Emission from Deforestation and Degradation (REDD)” dan penguatkuasaan undang-undang dan pentadbiran hutan.

Sementara itu, hasil daripada mesyuarat Kumpulan Pakar ASEAN ini akan dibawa di Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Perhutanan ASEAN.

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perhutanan dan pelbagai agensi yang berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA