KPSSU semarakkan Nuzul Al-Quran

KPSSU semarakkan Nuzul Al-Quran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (KPSSU) serta jabatan-jabatan di bawahnya tidak ketinggalan mengadakan Majlis Memperingati Nuzul Al-Quran, Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim dan Tahlil bagi pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, bangunan kementerian berkenaan, hari ini.

Sumbangan derma kepada anak-anak yatim itu disampaikan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri dan kira-kira 250 orang warga kementerian serta anak-anak yatim.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Shukri bin Haji Makhbar dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan yang diikuti dengan ceramah khas sempena memperingati Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Pengiran Haji Mohd Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pehin Haji Yahya menyempurnakan penyampaian derma kepada seramai 39 orang anak yatim daripada kalangan pegawai dan kakitangan kementerian.

Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim di majlis berkenaan.
Di antara para tetamu yang hadir di majlis anjuran KPSSU, kelmarin.
Di antara para tetamu yang hadir di majlis anjuran KPSSU, kelmarin.

Majlis diakhiri dengan Tahlil dan Doa Arwah bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan Jabatan-jabatan di bawahnya yang telah kembali ke rahmatullah.

Majlis dikendalikan bersama oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Pusat Promosi Pemasaran dan Unit Ease of Doing Business merupakan salah satu kegiatan keagamaan tahunan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan jabatan-jabatan di bawahnya di sepanjang bulan Ramadan.

Di samping memohon keberkatan dan mendapat ganjaran pahala yang banyak dalam bulan yang mubarak itu, majlis dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan para pegawai dan kakitangan kementerian serta menzahirkan sifat keprihatinan terhadap golongan anak-anak yatim.

ARTIKEL YANG SAMA