Kreativiti cetus animasi menarik

Kreativiti cetus animasi menarik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Seni animasi bukan lahir daripada penggunaan teknologi yang canggih seperti komputer atau perisian tiga dimensi tetapi daripada daya kreativiti serta pengalaman seorang artis yang bukan sahaja menghidupkan watak dengan menggunakan lukisan tetapi juga sebagai pelakon yang menggayakan watak itu.

Teknologi canggih seperti komputer harus digunakan sebagai peralatan untuk membantu menghasilkan animasi tetapi perlu diingat bahawa peralatan itu tidak mampu untuk menghidupkan atau menjiwai watak dihasilkan kerana ia hanya mampu melakukan apa yang diarahkan oleh artis yang menggunakan peralatan itu, kata artis dan profesor animasi dari Amerika Syarikat, Glenn Vilppu.

“Lebih daripada 70 peratus seni animasi masih menggunakan lukisan di kertas sebelum lukisan itu dipindahkan atau digerakkan menggunakan perisian komputer,” katanya ketika mengendalikan Bengkel Animasi CRAFT yang dikendalikan di Creative Arts Facilities (CRAFT), Bangunan KHub, Anggerek Desa, hari ini.

Bengkel itu dihadiri oleh penuntut institusi pengajian tinggi dan peserta CRAFT, yang mana ia dianjurkan bersama oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dengan kerjasama rakan teknologi, Autodesk, dengan hasrat untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran para peserta dalam bidang animasi.

Glenn menambah bahawa pergerakan watak dalam sesebuah animasi memerlukan interpretasi daripada artis yang menghasilkan watak itu, watak berkenaan bergerak atau melakukan aksi dan menunjukkan emosinya melalui pengalaman artis itu sendiri kerana watak itu menggambarkan perjalanan hidup atau pengalaman artis itu sendiri.

Glenn Vilppu ketika mengendalikan bengkelnya mengenai penghasilan dan perwatakan watak-watak animasi.
Glenn Vilppu ketika mengendalikan bengkelnya mengenai penghasilan dan perwatakan watak-watak animasi.
Antara yang menghadiri bengkel itu.
Antara yang menghadiri bengkel itu.

Teknik melukis, jelasnya lagi, merupakan sesuatu yang boleh dipelajari namun daya kreativiti dan keupayaan untuk menggunakan kemahiran, pengalaman serta pemikiran kreatif merupakan sesuatu yang harus lahir dari dalam diri seseorang artis itu sendiri.

Oleh itu, beliau melahirkan harapan agar para peserta bengkel akan terus berusaha dan berlatih untuk meningkatkan kemahiran mereka kerana kecekapan serta keupayaan untuk menghasilkan animasi yang menarik lahir daripada pengalaman dan kreativiti mereka sendiri.

Bengkel dua hari itu merupakan salah satu usaha berterusan BEDB untuk membangunkan lagi industri multimedia di Negara Brunei Darussalam dengan memberikan peluang kepada anak-anak tempatan yang berbakat dan berminat dalam bidang animasi serta industri multimedia untuk menimba ilmu pengetahuan dan meningkatkan lagi keupayaan komunikasi visual mereka.

Bengkel yang berlangsung hingga esok itu, dikendalikan oleh Glenn Vilppu, seorang pensyarah, guru dan pelukis yang bukan sahaja terkenal melalui siri buku dan DVD mengenai tatacara melukis oleh beliau, malahan juga mempunyai pengalaman berkhidmat dengan studio animasi gergasi dunia seperti Walt Disney, Pixar, Warner Bros dan Fox dalam penghasilan siri animasi termasuk Fern Gully, Tazmania dan Tiny Toon Adventures.

ARTIKEL YANG SAMA