Kren mudah alih tumbang

Kren mudah alih tumbang

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Satu kejadian melibatkan kren mudah alih telah berlaku pada 12 Julai lalu di tapak pembinaan projek Jambatan Temburong di bawah kontrak Pakej CC2 – Jejambat Marin, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Berikutan kejadian itu, Jabatan Buruh dengan pasukan projek yang merangkumi Kementerian Pembangunan, konsultan dan kontraktor, telah memulakan siasatan untuk menentukan penyebab kejadian dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sedemikian pada masa akan datang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, kejadian berkenaan berlaku di kawasan pembinaan marin kira-kira 500 dari darat, Jalan Kota Batu.

Siasatan awal mendapati kren mudah alih berkenaan telah condong dan bum kren berkenaan jatuh di atas penutup timbunan konkrit.

Aktiviti-aktiviti mengangkat di kawasan berkenaan telah dihentikan bagi membolehkan siasatan lanjut, manakala aktiviti pembinaan lain tidak terjejas dan berjalan seperti yang dijadualkan.

Menurut kenyataan itu lagi, keselamatan kakitangan, pekerja di tapak dan orang awam terutamanya para pelaut adalah sangat penting kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Daripada permulaan projek, langkah-langkah telah diambil dalam memastikan kontraktor mematuhi spesifikasi keselamatan. Semua prosedur dan proses operasi termasuk penilaian risiko dinilai semula dari semasa ke semasa, dan kejadian-kejadian disiasat dan penambahbaikan dilaksanakan.

Dalam pada itu, orang awam terutamanya para pelaut digesa untuk tidak mendekati zon eksklusif berkenaan bagi aktiviti pembinaan marin setiap masa dan mematuhi semua amaran keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA