Kren tumbang di Makkah: K’jaan berusaha dapatkan pampasan

Kren tumbang di Makkah: K’jaan berusaha dapatkan pampasan

PASIR PUTEH, 9 Mei (Bernama) – Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan wang pampasan untuk jemaah yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada musim haji September tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata namun sehingga kini, kerajaan belum menerima sebarang perkembangan mengenai perkara itu.

“Kita harap waris dan mangsa terbabit dapat bersabar kerana kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penjelasan isu-isu semasa kepada lebih 100 guru di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai permintaan seorang waris mangsa di sini supaya pemberian pampasan itu disegerakan.

Sebelum ini, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dilaporkan telah mengarahkan pemberian wang pampasan kepada keluarga mangsa tragedi berkenaan sebanyak SR1 juta.

Wang itu akan diberikan kepada keluarga setiap mangsa terkorban dan cedera serta mengalami kecacatan kekal akibat insiden itu manakala mereka yang mengalami cedera ringan akan diberikan pampasan SR500,000.

Tragedi pada 11 Sept lepas itu mengorbankan lebih 100 orang jemaah dari seluruh dunia termasuk tujuh dari Malaysia.

Asyraf Wajdi berkata kerajaan tiada kuasa untuk mendesak kerajaan Arab Saudi supaya mempercepat pembayaran pampasan itu namun, berharap waris mangsa dapat bersabar.