Krisis Arab Saudi-Iran tidak menjurus peperangan

Krisis Arab Saudi-Iran tidak menjurus peperangan

DUBAI, 6 Jan (AFP) – Pertelingkahan antara Arab Saudi dan Iran mungkin meningkatkan ketidakstabilan di rantau Asia Barat, namun ia mungkin tidak menjurus kepada konfrontasi langsung ketenteraan, kata pakar dan diplomat.

Arab Saudi sudah memutuskan semua hubungan dengan Tehran, memanggil pulang diplomatnya dan memutuskan hubungan udara sebagai tindak balas terhadap serangan hujung minggu lalu ke atasnya perwakilannya di republik Islam itu.

Serangan ke atas kedutaan Arab Saudi di Tehran dan konsulatnya di Mashhad diikuti kritikan keras Iran ke atas negara itu kerana melaksanakan hukuman mati ulama terkenal Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr, selepas mensabitkannya atas kesalahan ‘keganasan’.

Pakar keselamatan di Pusat Penyelidikan Teluk, Mustafa Alani, berkata Arab Saudi tidak berhasrat untuk memburukkan lagi keadaan, namun jika pihak satu lagi memutuskan untuk melakukan sebaliknya, Riyadh sedia menyahut cabaran biar apa pun akibatnya.

“Pendirian di Riyadh ialah tiada kompromi. Pentadbiran baharu akan menyahut cabaran dan tentangan tanpa memikirkan akibatnya,” katanya.

Menurut seorang diplomat Barat, Iran “tidak akan berperang dengan Arab Saudi.” Diplomat negara Teluk sebaliknya berkata, Iran mungkin mencetuskan ketidakstabilan di rantau dengan menyerang Arab Saudi dan kepentingannya.

Sumber lain berkata, ada kemungkinan serangan ke atas masjid Syiah, terutama di Iraq dan Lubnan, akan meningkat.

“Ia mungkin akan lebih ganas…menerusi proksi,” kata diplomat itu sambil menolak konflik langsung antara kedua-dua seteru serantau itu.