Krisis ekonomi bukan penghalang

Krisis ekonomi bukan penghalang

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA,10 April – Biarpun dalam keadaan krisis ekonomi yang dialami oleh ramai dalam kalangan para pengusaha perniagaan pada masa ini, ia bukan penghalang bagi seorang pengusaha tempatan yang mengorak langkah untuk membuka perniagaan restoran di sini.

Dayang Masenah binti Haji Mohamad, dengan keyakinan yang ada, telah melancarkan kedai makan Restoran KAMES dan Katering di kawasan Jalan Bunga Melor di sini.

Pelancaran restoran berkenaan, hari ini, telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman selaku tetamu kehormat majlis.

Pengurus restoran tersebut, Senthil Kumar memberitahu Media Permata, perniagaan mereka itu nanti bukan hanya fokus kepada pelanggan yang datang, malahan mereka juga mempunyai projek pembekalan makanan ke beberapa buah kawasan kerja di Kuala Belait, Seria dan Lumut, setiap hari, termasuk menyediakan katering bagi acara-acara yang diadakan oleh syarikat-syarikat setempat.

Haji Haris memotong reben semasa merasmikan Restoran KAMES dan Katering.
Haji Haris memotong reben semasa merasmikan Restoran KAMES dan Katering.

Beliau yang mempunyai pengalaman mengendalikan restoran di Singapura, melahirkan keyakinan bahawa menu yang mereka sediakan, iaitu masakan Ala Utara India, akan memberikan kelainan kepada kalangan pelanggan di sini, termasuklah menyediakan hidangan istimewa seperti Nasi Baryani Kambing, ayam dan sebagainya pada harga yang berpatutan.

“Kami akan menyediakan khidmat katering secara bufet, dan kami mampu menyediakan tempahan sehingga seramai 500 orang dalam bentuk bufet, buat masa ini kami belum boleh menyediakan khidmat katering majlis perkahwinan, memandangkan belum begitu cukup pekerja,” katanya.

Restoran KAMES beroperasi setiap hari bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam dan turut dibuka pada hari Jumaat daripada pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari, dan dibuka semula pada pukul 2:30 petang hingga 10 malam.

Majlis pelancaran berkenaan telah diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Haji Mohd Alias bin Bakar.

Hadir sama ialah Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria, Haji Saidin serta para jemputan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA