Krisis FIFA lebih teruk daripada skandal Olimpik – Pound

Krisis FIFA lebih teruk daripada skandal Olimpik – Pound

LONDON, 8 Jun (Reuters) – Peguam dari Kanada, Dick Pound, yang mengetuai penyiasatan untuk membersihkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selepas berlaku skandal rasuah Sukan Olimpik Musim Sejuk Salt Lake City 2002, semalam berkata krisis yang melanda FIFA jauh lebih teruk daripada apa yang dihadapi oleh IOC.

“Saya fikir (rasuah) ini jauh lebih mendalam dan lebih serius. Anda bercakap mengenai sogokan, rasuah, pemindahan wang, dan seumpamanya,” kata Pound dalam temubual menerusi telefon.

Pound turut mengingatkan bahawa sementara tuduhan melakukan jenayah dikenakan ke atas dua orang dalam kes sogokan dan rasuah semasa Olimpik Salt Lake City tetapi kemudiannya digugurkan, situasi dalam FIFA adalah ‘jauh lebih sulit untuk cuba diselesaikan’.

“Keadaan akan menjadi kelam-kabut sebelum dapat diselesaikan,” kata Pound.

FIFA terjebak dalam skandal terburuk dalam sejarah 111 tahunnya pada 27 Mei lalu apabila polis Switzerland menyerbu dan menangkap beberapa pegawainya berikutan tuduhan yang difailkan oleh pendakwaraya Amerika Syarikat (AS) di New York.

Pound berpengalaman dalam membersihkan skandal. Bekas perenang Olimpik dan bekas ahli lembaga eksekutif IOC itu telah dilantik oleh Presiden IOC ketika itu Juan Antonio Samaranch untuk membersihkan pertubuhan berkenaan dan membuat pemulihan selepas berlaku skandal Salt Lake City.

Apabila IOC berdepan dengan krisis doping yang mengancam integriti Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk, Pound sekali lagi diminta untuk menubuhkan dan menguruskan Agensi Antidoping Dunia.

FIFA pula terperangkap dalam penyiasatan jenayah lebih luas. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS, turut menyiasat bagaimana hak penganjuran Piala Dunia 2018 diberikan kepada Rusia dan Qatar untuk tahun 2022, menurut pegawai penguatkuasaan undang-undang AS.