Krisis kemanusiaan di Syria semakin buruk

Krisis kemanusiaan di Syria semakin buruk

GENEVA (Switzerland), 4 Dis (Bernama) – Pengarah Pertubuhan Palang Merah (ICRC) Antarabangsa bagi Timur Jauh dan Timur Tengah memberi amaran krisis kemanusiaan di Syria akan bertambah buruk ekoran musim sejuk yang menjelang.

Ratusan ribu orang berusaha untuk hidup dengan hanya berbekalkan sumber asas sedang suhu cuaca menurun ke paras di bawah sifar.

Peperangan yang berlangsung selama hampir lima tahun telah memusnahkan atau merosakkan hampir keseluruhan prasarana yang ada.

“Keadaan kemanusiaan di Syria bertambah buruk dari hari ke sehari dan tidak boleh dibayangkan sama sekali. Rakyatnya sedang menghadapi musim sejuk yang buruk dan mereka hanya punya sumber kehidupan yang amat sedikit.

“Kami memerlukan jalan masuk yang lebih baik agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Keadaan yang dihadapi ramai orang adalah amat genting sekarang,” kata Robert Mardini dalam kenyataannya kepada media semalam.

Lebih 12 juta rakyat Syria, termasuk 5.5 juta kanak-kanak, amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Lebih empat juta telah meninggalkan negara itu dan sekurang-kurangnya lapan juta lagi ketiadaan tempat tinggal.

Ramai dipaksa berpindah-randah akibat peperangan yang melanda.

“Ramai pelarian kini berada di negara-negara jiran seperti Jordan dan Lubnan dan tinggal dalam keadaan yang daif dan sukar mencari tempat yang dapat meningkatkan suhu cuaca sedang suhu semakin menurun.

“Mereka tinggal dalam keadaan tidak menentu, tidak mengetahui apa yang akan mereka hadapi esok atau apakah mereka dapat kembali ke rumah mereka sama sekali,” ujarnya lagi.

Di Syria, ICRC telah menjalankan beberapa kegiatan untuk menangani keadaan. Ia telah mula mengagihkan baju sejuk kepada 300,000 kanak-kanak antara usia enam bulan hingga 9 tahun.

Kerja-kerja juga telah dijalankan untuk memperbaiki tempat berteduh bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan mangsa perang.

Sejak permulaan tahun ini, ICRC bersama-sama sama Pertubuhan Bulan Sabit Merah Arab Syria telah membekalkan makanan kepada lebih 7 juta orang.

Seramai 15 juta juga memanfaatkan program bekalan air di seluruh negara tersebut.