Krisis penghijrah ‘berskala besar’ di Eropah

Krisis penghijrah ‘berskala besar’ di Eropah

GENEVA, 19 Ogos – Sejumlah 107,500 penghijrah menyeberangi sempadan Kesatuan Eropah (EU) bulan lepas, menurut statistik terbaru semalam, menunjukkan mereka tiba dalam peningkatan jumlah yang drastik sekali gus mewujudkan krisis kemanusiaan bagi 28 negara blok berkenaan.

Agensi sempadan EU, Frontex melaporkan bahawa statistik terbarunya adalah jauh lebih mengatasi rekod bulan sebelumnya pada Jun sejumlah 70,000.

Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, terdapat hampir 340,000 penghijrah, naik berbanding 123,500 dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Frontex.

“Ini adalah keadaan yang mencemaskan bagi Eropah yang memerlukan semua anggota EU untuk campur tangan bagi menyokong pihak berkuasa negara yang mengambil tindakan ke aras sejumlah besar penghijrah di sempadannya,” kata pengarah Frontex, Fabrice Leggeri dalam satu kenyataan.

Jerman sahaja menjangka sehingga 750,000 pelarian berusaha mendapatkan suaka di sana tahun ini, menurut laporan media.

Penghijrah warga Syria berjalan di tepi pantai setiba mereka di Cesme, berhampiran bandar pelabuhan Izmir di Aegean, Turki. – Reuters
Penghijrah warga Syria berjalan di tepi pantai setiba mereka di Cesme, berhampiran bandar pelabuhan Izmir di Aegean, Turki. – Reuters

Turut menjadi sasaran pendaratan ialah di pantai Cesme, berhampiran bandar pelabuhan Izmir di Aegean, Turki.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata pada minggu lepas sahaja, 20,843 penghijrah – kebanyakan mereka melarikan diri daripada peperangan dan penindasan di Syria, Afghanistan dan Iraq – tiba di Greece, yang menyaksikan kira-kira 160,000 penghijrah mendarat di pantainya sejak Januari, menurut agensi pelarian PBB. – AFP