Krisis tebusan Armenia memasuki hari ketiga

Krisis tebusan Armenia memasuki hari ketiga

YEREVAN, 19 Julai – Lelaki bersenjata propembangkang sedang menahan empat anggota polis sebagai tebusan di bandar Yerevan, Armenia, kata pegawai hari ini, dua hari selepas mereka merampas sebuah bangunan polis, membunuh seorang pegawai dan menawan beberapa tebusan.

“Rundingan masih dijalankan dengan penawan tebusan. Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan situasi itu tanpa pertumpahan darah,” kata ketua timbalan polis pertama Armenia, Hunan Pogosyan memberitahu AFP.

Sebarisan polis berjaket dan berhelmet berkumpul di luar bangunan hari ini ketika trak-trak yang diletakkan di sana menyekat di sekeliling jalan, menurut jurugambar AFP.

Lelaki bersenjata, yang merampas sejumlah besar gedung senjata polis, sejauh ini enggan untuk menyerah kalah.

Mereka membebaskan empat tebusan pada Ahad dan Isnin, namun masih lagi menahan empat tebusan lain pada pagi hari ini, menurut perkhidmatan keselamatan kebangsaan Armenia.

Tebusan itu termasuk ketua timbalan polis Armenia, Mejar Jeneral Vardan Egiazaryan dan ketua timbalan polis Yerevan, Kolonel Valeri Osipyan.

Para penyerang telah menuntut peletakan jawatan Presiden Serzh Sarkisian dan pembebasan ketua pembangkang yang ditahan, Zhirair Sefilyan. – AFP