Kriteria pengarah asing bakal diperkenalkan

Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Sejak diperkenalkan pada 1 Oktober 2016 hingga 22 Januari 2018, Lesen Pekerja Asing telah dapat mempercepatkan proses mengambil pekerja asing dan menjimatkan masa.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong seterusnya berkata, Jabatan Buruh tanpa menjejaskan pengambilan pekerja tempatan di sektor swasta juga membuat beberapa penelitian bersama agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan bagi menurunkan proses pengambilan pekerja asing terutamanya bagi pekerjaan yang masih belum dapat diisikan oleh anak-anak tempatan.

Dalam masa yang sama, ke arah usaha kementerian mendukung pertumbuhan ekonomi, Jabatan Buruh dengan kerjasama agensi yang berkaitan seperti Unit Dasar dan Perancangan Tenaga Manusia (MPPU), Jabatan Tenaga dan Perindustrian dan PENGGERAK, sedang dalam proses mengenalkan kriteria bagi pengarah asing (yang dihasratkan bagi menyelaras lantikan pengarah terdiri daripada warganegara asing yang akan menyumbang kepada perekonomian dan pekerjaan kepada pencari kerja daripada kalangan anak tempatan.

Yang Berhormat Pehin menekankan perkara ini semasa menyampaikan mukadimahnya pada hari keenam Permesyuaratan ke-14, Majlis Mesyuarat Negara di Bangunan Dewan Majlis di ibu negara, petang tadi.

Dalam mukadimahnya itu, Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P), yang mana menurutnya, beberapa rancangan telah pun dibincangkan bersama agensi-agensi yang berkepentingan di dalam dan luar negeri untuk mempertingkatkan kualiti pengeluaran rangkaian produk 1K1P supaya produk-produk berkenaan akan mapan dan boleh menembusi pasaran domestik dan serantau.

Ini termasuk meningkatkan kualiti produk, pembungkusan, pemasaran dan memenuhi keperluan persijilan iaitu Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan Sijil Halal Brunei Darussalam.

Sehubungan ini, salah satu daripada inisiatif itu adalah menjalin kerjasama dengan pihak berkenaan di Thailand khasnya One Tambon One Product untuk membimbing pengusaha-pengusaha 1K1P.

Ini, jelas Yang Berhormat Pehin, selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya pihak kerajaan memberikan bimbingan dan tunjuk ajar bagaimana memulakan dan menjalankan perusahaan sehingga peniaga dan pengusaha berjaya.

Dalam usaha Ease of Doing Business, beliau berkata, kementeriannya juga sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi menjadikan negara ini destinasi pelabur-pelabur asing luar negeri. Ini termasuk dalam memberikan perkhidmatan yang efisien dan cepat.

Menurut beliau, pada tahun lepas, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah memperkenalkan Sistem Que Up bagi kad pengenalan dan pasport yang telah memberikan kesan positif dalam penjimatan masa bagi orang ramai.

Bagi pelanggan yang menggunakan sistem berkenaan, ia telah menurunkan masa menunggu dari 109 minit kepada 13 minit dan bagi pelanggan ‘walk in’ turun sebanyak 7 peratus.

Sistem berkenaan telah berjaya menjimatkan masa orang ramai sebanyak 3,600 jam. Yang Berhormat Pehin berkata, sistem berkenaan juga telah dilaratkan kepada bahagian visa, lawatan, diplomatik dan pas kerja pada 1 Februari lalu yang bertujuan untuk mengurangkan masa menunggu dengan signifikan.

Mengulas mengenai Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), beliau berkata, bagi tahun 2018/2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) memperbaiki ‘response time’ kepada 8 ke 10 minit bagi kawasan bandar dan 10 ke 15 minit bagi kawasan luar bandar.

Dalam memastikan keselamatan aset-aset kerajaan dan swasta, sehingga Februari 2018, JBP berjaya melatih seramai 2,022 marsyal bomba dalam kalangan pegawai kerajaan, swasta dan penduduk secara amnya.

Ini juga menunjukkan usaha-usaha jabatan untuk meningkatkan kesiapsediaan kebangsaan dengan memperkasa individu dan masyarakat untuk menguatkan dan mengekalkan kesiapsediaan mereka terhadap bencana, tambah beliau.