Kritikan, kebimbangan FIFPro di sebalik kematian Ekeng

Kritikan, kebimbangan FIFPro di sebalik kematian Ekeng

THE HAGUE, Belanda, 8 Mei (AFP) – Kesatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Dunia (FIFPro), semalam menyuarakan kebimbangan mengenai tahap rawatan kecemasan bagi pemain di kelab-kelab Romania selepas kematian tragik pemain Cameroon, Patrick Ekeng.

Ekeng, 26, hanya berada di padang selama tujuh minit pada perlawanan Jumaat lalu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian untuk kelabnya, Dinamo Bucharest sebelum tumbang di tengah padang.

Dia tidak dapat dipulihkan selepas rebah. Pendakwaraya di Bucharest mengumumkan, semalam mereka sudah membuka kertas siasatan terhadap kematian Ekeng di sebalik kritikan mengenai rawatan yang diterimanya.

“Sekalipun masih terlalu awal untuk membuat keputusan daripada insiden tragik ini dengan polis masih meneruskan siasatan, adalah jelas beberapa kelab-kelab di Romania mempunyai sejarah kemudahan perubatan yang amat terhad,” kata kenyataan daripada FIFPro.

Pasukan keselamatan mengusung keluar Ekeng selepas tujuh minit beraksi pada perlawanan Jumaat lalu di Bucharest sebelum tumbang di tengah padang. Menurut doktor, beliau disahkan meninggalkan dunia selepas insiden tersebut. – AP
Pasukan keselamatan mengusung keluar Ekeng selepas tujuh minit beraksi pada perlawanan Jumaat lalu di Bucharest sebelum tumbang di tengah padang. Menurut doktor, beliau disahkan meninggalkan dunia selepas insiden tersebut. – AP

Badan induk itu yang bertapak di Belanda berkata rakan gabungan mereka di Romania sudah pun bertanya kepada persatuan bola sepak di negara Balkan itu pada 2012 mengenai kewajipan buat semua kelab-kelab mempunyai kelengkapan ambulans pada perlawanan rasmi atau pun tidak.

Permohonan itu hadir selepas pemain muda berbakat Nigeria, Henry Chinonso Ihelewere, 21, tumbang dan mati disebabkan serangan jantung di atas padang ketika perlawanan divisyen dua pada Ogos 2012.

Pelan itu begitupun tidak pernah diterima, menurut Emilian Hulubei, yang juga presiden Kesatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Romania (AFAM).

Hulubei berkata, pihaknya difahamkan yang Ekeng perlu melakukan pemeriksaan kesihatan di Bucharest ketika bermain di Romania namun ada bukti kelab dari luar bandaraya itu yang tidak melakukannya untuk menjimatkan wang.