KRT di Sabah disaran jana pendapatan sendiri

KRT di Sabah disaran jana pendapatan sendiri

RANAU, 26 Feb (Bernama) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Sabah harus berupaya menjana dan meningkatkan ekonomi masing-masing tanpa bergantung bantuan daripada kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk melahirkan masyarakat usahawan yang mempunyai inisiatif dan kreativiti dalam memperkasakan ekonomi KRT.“Sebagai contoh, ekonomi dapat dijana melalui penghasilan produk tempatan yang bermutu serta berkualiti tinggi dengan menggunakan jenama tersendiri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Awal Tahun 2016 KRT Daerah Ranau/Kundasang dan Pengiktirafan Projek Inovasi Baja Kompas serta Pelancaran Tamu Mingguan KRT Ranau, anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di sini Jumaat.

Pada majlis berkenaan, Kurup turut melancarkan dua projek ekonomi KRT daerah Ranau iaitu pengiktirafan baja Kompas jenama “Tosonong” dan Tamu KRT Ranau.Beliau berkata inisiatif KRT Ranau itu merupakan tindakan yang sangat berkesan dan perlu dicontohi oleh semua KRT di seluruh Sabah bagi menghadapi cabaran kos sara hidup yang kian meningkat.

“Kita memuji semangat yang ditunjukkan KRT Ranau dan Kundasang yang sentiasa berusaha untuk membangunkan ekonomi masing-masing.

Pada masa sama, Kurup menyeru agar setiap jawatankuasa KRT di negeri ini lebih aktif dalam melaksanakan program dan aktiviti kemasyarakatan di kawasan masing-masing.Sementara itu, Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun berkata inisiatif yang dilakukan KRT Ranau dan Kundasang itu selaras dengan saranan yang diutarakan Kurup sebelum ini untuk melahirkan KRT berinovasi, keratif dan berdaya maju.