Krychowiak: Satu kemenangan belum mencukupi

Krychowiak: Satu kemenangan belum mencukupi

NICE, Perancis, 13 Jun (AFP) – Kejayaan Poland menundukkan Ireland Utara 1-0 pada aksi pembukaan Kumpulan C Euro 2016, awal pagi tadi jelas melegakan namun bagi pemain terbaik perlawanan, Grzegorz Krychowiak menyatakan bahawa perjalanan mereka baru bermula.

Gol tunggal Arkadiusz Milik pada babak kedua permainan sudah mencukupi buat Poland meraih tiga mata penuh pada aksi di Allianz Riviera, di sini.

Kemenangan itu adalah kemenangan pertama buat Poland di kejohanan benua itu selepas prestasi hambar pada dua edisi sebelum ini termasuk pada 2012 yang menyaksikan mereka selaku tuan rumah menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan. Poland menguasai keseluruhan permainan namun perlu menunggu sehingga 51 minit untuk meledak gol menerusi cubaan Milik yang menyudahkan hantaran Jakub Blaszczykowski.

Poland memperagakan aksi yang meyakinkan meskipun penyerang terkemuka mereka, Robert Lewandowski tidak begitu menyerlah yang menyaksikan Ireland Utara gagal melakukan sebarang cubaan tepat ke gawang lawan pada penampilan sulung Eropah mereka.

“Kami menyedari bahawa kami tidak mengharapkan aksi individu untuk memenangi perlawanan ini,” kata pemain tengah Grzegorz Krychowiak menerusi penterjemahnya. Krychowiak yang juga pemain terbaik perlawanan turut mengakui mereka mampu menjadi pencabar kejuaraan namun menegaskan mereka tidak boleh leka untuk aksi seterusnya menentang Jerman, Khamis ini.

“Pasukan ini dibarisi pemain berpengalaman namun kami tahu ini hanyalah perlawanan yang pertama.

UEFA-Euro-2016-Logo