KSSUP lancar ...

KSSUP lancar pelan strategik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Seluruh warga Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dituntut serta perlu untuk merubah sikap dan minda dalam melaksanakan kerja-kerja yang diberikan.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong semasa Majlis Pelancaran Pelan Strategik KSSUP dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi tempoh 2016-2020, hari ini, berkata, “Sikap ‘Business as Usual’ perlu dikikis. Semua peringkat pegawai perlu bekerja lebih gigih dan cemerlang bagi memastikan kementerian dapat melaksanakan strategi-strategi yang telah ditetapkan.”

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali juga menasihatkan para pegawai supaya bekerja mengikut peraturan yang ditetapkan dan mengikut urus tadbir terbaik serta saling mengingati supaya dapat mencapai sasaran dengan jayanya tanpa menghadapi sebarang insiden yang kurang disenangi, tambah beliau lagi.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, para pengarah, ketua-ketua bahagian, para pegawai kanan serta para pegawai di KSSUP.

Menerusi Pelan Strategik KSSUP 2016-2020, kementerian mengetengahkan visi ke arah pertumbuhan pesat keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan sehingga mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi demi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pengarah dan ketua bahagian selepas penyerahan Pelan Strategik KSSUP 2016-2020.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pengarah dan ketua bahagian selepas penyerahan Pelan Strategik KSSUP 2016-2020.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama para pegawai kementerian yang menghadiri majlis pelancaran itu.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama para pegawai kementerian yang menghadiri majlis pelancaran itu.

Misi kementerian itu ialah menerajui pertumbuhan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan untuk menjadi penyumbang signifikan kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara dengan memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi tinggi serta fokus kepada pasaran eksport.

Selaras dengan visi dan misi itu, KSSUP memberikan penekanan kepada empat teras utama iaitu pertumbuhan, produktiviti, eksport dan berdaya tahan.

Pelan strategik kementerian juga menghuraikan matlamat strategi kementerian dengan meningkatkan sumbangan keluaran industri pertanian, perikanan, perhutanan dan industri pelancongan kepada pertumbuhan KDNK, meningkatkan jumlah keluaran dan nilai eksport dari industri pertanian, perikanan dan perhutanan.

Pelan itu juga menghuraikan matlamat untuk meningkatkan produktiviti industri pertanian, perikanan dan perhutanan melalui penggunaan teknologi dan teknik moden secara meluas, mengurangkan pergantungan ke atas import barangan makanan.

Bagaimanapun, pelan itu bersikap terbuka dengan peningkatan import bahan industri pemprosesan, meningkatkan pendapatan negara melalui pertukaran asing daripada aktiviti eksport industri pelancongan, meningkatkan pertumbuhan jumlah ketibaan pelancongan dan pertumbuhan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan di negara ini supaya dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan KDNK.

Kementerian turut mempunyai matlamat strategik bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada perbelanjaan kerajaan dalam melaksanakan strategi dan program untuk meningkatkan keluaran industri dengan menggunakan kaedah seperti perkongsian awam dan swasta serta usaha sama.

Bagi tempoh 2016 hingga 2020, kementerian menyasarkan keluaran kasar industri sumber-sumber utama meningkat daripada $511 juta pada 2015 kepada $1.8 bilion menjelang 2020, iaitu peningkatan purata sebanyak 28.8 peratus setahun. Dengan itu, sumbangan sektor pertanian, perikanan dan perhutanan akan meningkat dari 1 peratus KDNK pada 2015 kepada 5 peratus KDNK menjelang 2020.

Untuk mencapai sasaran dan trajektori 2016-2020, KSSUP melalui jabatan-jabatan yang berkenaan akan memberikan tumpuan kepada industri utama termasuk industri ayam pedaging, industri sayur-sayuran, industri bunga keratan, industri agrimakanan, industri akuakultur iaitu ternakan ikan dalam sangkar luar pantai dan ternakan udang, industri pemprosesan makanan laut, industri hiliran dan nilai tambah perhutanan.

Bagi sektor pelancongan pula, pihak kementerian menyasarkan bilangan ketibaan pelancong untuk meningkat daripada 218 ribu pada 2015 kepada 450 ribu pada 2020 iaitu peningkatan purata sebanyak 5.9 peratus setahun dengan nilai pendapatan pelancongan dijangka mencecah $335 juta menjelang 2020.

Menerusi pelan strategik itu lagi, kementerian turut menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di mana pada 2020 nanti, industri pertanian dijangka dapat menjana lebih 4,800 tambahan peluang pekerjaan, industri perikanan (2,500), industri perhutanan (lebih 360,000) dan industri pelancongan (lebih 330,000).

ARTIKEL YANG SAMA