KSSUP usaha t...

KSSUP usaha tarik pelabur asing

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Sebagai usaha untuk menarik para pelabur asing melabur di Negara Brunei Darussalam, rombongan delegasi syarikat-syarikat perniagaan dan para pelabur dari Singapura telah diberikan taklimat mengenai pelbagai peluang pelaburan dalam industri sumber-sumber utama dan pelancongan serta perkhidmatan sokongan bagi pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini.

Rombongan delegasi dari Singapura tersebut terdiri daripada para pegawai kanan Agrifood and Veterinary Authority (AVA), International Enterprise Singapore (IES) dan juga perwakilan daripada beberapa syarikat perniagaan dan pelabur dalam sektor perikanan dan pertanian.

Hadir pada majlis di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) tersebut ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Abu Hanifah; Pengarah Perikanan, Abdul Halidi Mohd Salleh dan Ketua FDI Action and Support Team (FAST), Jabatan Perdana Menteri, Hajah Norul Hasanah binti Haji Hassanol Asshari.

Taklimat berkenaan diadakan bagi memberikan maklumat peluang pelaburan dalam industri sumber-sumber utama dan pelancongan khususnya sektor perikanan, pertanian dan agrimakanan serta perusahaan dalam industri sokongan bagi sektor sumber-sumber utama.

Dayang Mariani menyampaikan taklimat ‘Agriculture & Agrifood and Fisheries Departments New Targets and RFPS’.
Dayang Mariani menyampaikan taklimat ‘Agriculture & Agrifood and Fisheries Departments New Targets and RFPS’.

Turut dikongsi dalam taklimat pagi tadi ialah status industri sumber-sumber utama dalam sektor perikanan dan pertanian dan perancangan strategi yang telah digariskan oleh KSSUP ke arah meningkatkan pengeluaran bagi mencapai Wawasan 2035.

Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti penyampaian taklimat bertajuk ‘Agriculture & Agrifood and Fisheries Departments’ New Targets and RFPS’ disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Perikanan, Dayang Mariani binti Haji Sabtu.

Sementara taklimat terakhir bertajuk ‘Services and Support for FDI’ pula disampaikan oleh Hajah Norul Hasanah.