KU lepaskan tembakan sebagai amaran

KU lepaskan tembakan sebagai amaran

SEOUL, 25 Okt (AFP) – Korea Selatan melepaskan tembakan amaran ke arah salah sebuah kapal peronda Korea Utara ketika ia berada di luar seberang sempadan, menurut kementerian pertahanan Seoul, yang meningkatkan ketegangan ketika berlangsungnya penyatuan semula yang jarang sekali diadakan bagi keluarga-keluarga yang terpisah oleh peperangan semenanjung 1950-53.

Tentera laut Korea Selatan melancarkan tindakan ke atas bot-bot menangkap ikan China yang beroperasi secara haram di perairan pantai barat negara itu semalam apabila ia terlihat sebuah kapal peronda dan melepaskan lima tembakan amaran.

Kapal Korea Utara itu kembali ke seberang sempadan tidak lama selepas itu tanpa melepaskan tembakan balas, tambah kementerian pertahanan. Tetapi Pyongyang hari ini menyifatkan kejadian itu sebagai ‘provokasi ketenteraan serius’ dan menuduh Seoul cuba menggagalkan peningkatan hubungan baru-baru ini.

“Penembakan dilakukan di siang hari adalah provokasi sengaja untuk mencetuskan konflik tentera dan sekali lagi meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea,” Jawatankuasa bagi Penyatuan semula Aman Korea, yang mengendali hal ehwal seberang sempadan berkata dalam satu kenyataan.

“Provokasi ketenteraan gengster tentera Korea Selatan baru-baru ini adalah tindakan berbahaya yang bertujuan mendinginkan suasana hubungan yang sedang pulih, yang sukar diraih dan benar-benar menggagalkan proses pelaksanaan perjanjian Korea Selatan-Korea Utara,” menurut kenyataan itu.

ARTIKEL YANG SAMA