Ku Li pertahan tindakannya sokong Najib

Ku Li pertahan tindakannya sokong Najib

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Agensi) – Anggota Parlimen Malaysia yang paling lama berkhidmat, Tengku Razaleigh Hamzah, diheret ke dalam pertarungan politik pahit antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hingga memaksa beliau membela diri semalam.

Tengku Razaleigh memanggil media ke rumah mewah beliau di Kuala Lumpur untuk menjelaskan keputusannya menyokong Datuk Seri Najib, walaupun desas-desus meluas menyatakan beliau penyokong kempen anti-Najib Tun Dr Mahathir.

Keputusan Tengku Razaleigh menandatangani satu perisytiharan menyokong Datuk Seri Najib minggu lalu disorot secara meluas.

Pada Isnin, pembangkang mengeluarkan satu dokumen yang diedar dalam kalangan ahli parlimen yang mengisytiharkan rancangan mengadakan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib di Parlimen, dan berkata ia diedar oleh Tengku Razaleigh.

Namun, kerabat raja Kelantan berusia 78 tahun itu menafikan tahu mengenai pengedaran dokumen tersebut.

Tengku Razaleigh Hamzah ketika mengadakan sidang media di kediamannya. – Bernama
Tengku Razaleigh Hamzah ketika mengadakan sidang media di kediamannya. – Bernama

Tengku Razaleigh, yang sering dirujuk sebagai Ku Li, berkata tindakannya menandatangani perisytiharan pro-Najib di Kelantan serupa meletakkan tandatangan beliau dalam “buku kehadiran” dan ia tiada kaitan undang-undang.

“Saya menandatanganinya sebagai ahli Umno… saya tidak berada dalam mana-mana kumpulan, selain daripada Umno,” katanya dalam sidang media itu.

“Bukankah ini demokrasi? Saya boleh menandatangani sembarang dokumen bodoh.”

Tengku Razaleigh dihormati kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang, dan namanya sering disebut sebagai calon perdana menteri yang boleh diterima semua orang setiap kali Malaysia dilanda krisis politik, termasuk sekarang, sedang Dr Mahathir dan pembangkang berusaha menjatuhkan Datuk Seri Najib.

Dalam beberapa minggu kebelakangan, spekulasi meningkat bahawa beliau boleh menjadi perdana menteri sementara jika Datuk Seri Najib dapat disingkir melalui undi tidak percaya.

“Saya diberitahu bahawa orang seperti saya harus dilantik (sebagai perdana menteri,” katanya dalam sidang media itu, sambil menambah bahawa sebarang usaha menyelesaikan isu kepimpinan perlu dilakukan mengikut perlembagaan.

Sabtu lalu, Dr Mahathir mendakwa bahawa Tengku Razaleigh sebahagian daripada kem rahsia yang mahu mengusir Datuk Seri Najib.

ARTIKEL YANG SAMA